Pasangan pelakon Azad Jasmin dan Eira Syazira baru sahaja menduduki rumah baharu mereka yang sudah siap pada 1 Mei lalu. Baru sahaja sebulan ‘berbahagia’ di rumah baharu, sudah ada yang tidak kena sampaikan Azad Jasmin terkejut dan naik angin apabila melihat tembok pagar rumahnya roboh.
“Ingat bunyi guruh”
“Ingatkan nak hujan, rupanya tembok pagar roboh,” demikian cerita pelakon Azad Jasmin mengenai binaan tembok pagar rumahnya yang roboh dek dilanggar oleh pemandu mabuk dan tidak bertanggungjawab.
Menurut Azad atau nama sebenarnya Azad Jasmin John Louis Jeffri, 45, pada mula dia terdengar bunyi yang kuat ketika dia sedang menonton televisyen namun hanya menyangka ia adalah guruh.
“Pada waktu itu saya sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat, ingatkan guruh sebab nak hujan, bila tengok dari cermin tingkap di tingkat atas pun tak nampak apa-apa.
“Keesokan harinya guard datang ke rumah untuk memberitahu yang seorang individu telah pun ditahan selepas merempuh tembok rumah saya kerana memandu dalam keadaan mabuk,” ujarnya.
Laporan polis
“Dia bawa saya pergi cari seorang lelaki berbangsa Cina yang bertanggungjawab menyebabkan kerosakan tersebut. Saya nampak individu tersebut dan dia cuba lari apabila ternampak saya. Dan ketika itu dia masih lagi dalam keadaan ‘hang over’. Nasib baik periuk isteri saya tak ‘hinggap’ kat kepala dia,” katanya.
Azad bagaimanapun memberitahu yang dia sudah mengambil tindakan terhadap pelaku tersebut dengan membuat laporan polis.
“Saya sudah pun membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Puchong Jaya kerana memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar SOP serta cabaran lari daripada kesalahan dilakukan.
Periuk jadi mangsa
Di Instagram, Eira Syazira memuat naik sebuah video berdurasi 1:23 minit memaparkan situasi terkini di halaman rumahnya. Kelihatan sebahagian tembok rumah pasangan pelakon ini roboh dilanggar pemandu mabuk berkenaan.
Tulis Eira di ruangan kapsyen, dia juga hairan dari mana datangnya ‘orang mabuk’ sedangkan negara kita sedang berdepan dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, video ini menjadi hiburan pula apabila Pak Azad ke dapur dan mengambil periuk milik isterinya untuk memukul individu yang melanggar tembok pagar rumahnya itu.
Setelah dihalang oleh isterinya, Pak Azad kemudian bermain badminton dengan anak sulung mereka dengan menggunakan periuk tersebut.
Tindakan Pak Azad itu secara tidak langsung membuatkan Eira Syazira ketawa dan terhibur dengan aksi suaminya yang spontan.
Pada Mei lalu, Azad membuat kejutan dengan membelikan kediaman impian isterinya selepas 13 tahun tinggal di rumah flat.