Siapa je yang tak terkesan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan selama tiga bulan dulu.
Ramai yang terkesan termasuk golongan selebriti juga dan pelakon, Zul Ariffin berkongsikan pengalamannya sewaktu menjalani tempoh PKP.
Hati seronok
Memetik laporan BH Online, pelakon bertubuh sasa itu pada awalnya menerima perintah tersebut dengan hati yang seronok. Tambah pula jadual lakonannya padat sehingga tahun 2021, menyebabkannya tak ada masa berehat.
“Saya sangat menjaga privasi. Sejujurnya, saya minta maaf jika mengatakan sangat menantikan momen ini kerana mempunyai masa untuk diri sendiri. Sebelum ini, saya terlalu sibuk berlakon hingga tidak mempunyai masa berehat, apatah lagi jadual penuh hingga tahun depan,” ujarnya.
Nak gila
Namun, tambah Zul, setelah beberapa minggu duduk di rumah tanpa melakukan sebarang perkara, membuatkan dirinya seperti nak gila, jadi malas dan berat badannya bertambah.
“Awalnya, saya tak terasa bosan biarpun belum pernah tak bekerja hingga tiga bulan. Bagaimanapun, saya terasa seperti nak gila selepas beberapa minggu duduk di rumah tanpa buat apa-apa.
“Saya jadi malas dan berat badan mula bertambah selepas lama berehat. Selama ini, saya sibuk bekerja dan bertemu ramai orang. Diakui, saya terlalu letih bekerja dan ada masanya menimbulkan tekanan, tetapi tekanan hilang apabila dapat berehat selama beberapa hari.
“Tetapi, situasi ini pula berbeza, terlalu lama sangat duduk rumah membuatkan fikiran menjadi tepu dan perasaan mahu keluar bekerja semakin membuak-buak,” jelasnya.
Lega tak kahwin lagi
Walaupun belum berkahwin, Zul mengatakan dia tak pernah merasa bosan malah, bersyukur kerana masih belum berkahwin berikutan kes penceraian meningkat sewaktu PKP.
“Tiada istilah sunyi, malah saya bersyukur masih belum berkahwin. Lihatlah apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang sudah berumah tangga apabila terlalu lama terkurung bersama?
“Banyak pula kes perceraian yang berlaku. Situasi ini membuatkan saya lega sebab tidak berkahwin lagi,” katanya kepada BH Online.
Selain mempunyai kerjaya sebagai anak seni yang ada naik turunnya, Zul juga memiliki beberapa rangkaian perniagaan termasuk restoran menjual ramen di sebuah pusat membeli belah untuk menampung kehidupannya.