Siapa yang tidak bangga jika bapa sendiri menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan? Pastinya anak akan rasa bangga dengan pencapaian ayahnya. Begitulah yang dirasakan oleh Dafi apabila bapanya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tumpang gembira

Penyanyi dan pelakon Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri gembira dan berbangga dengan pelantikan bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dafi berkata, dia dan seluruh anggota keluarga sentiasa menyokong penuh kerja keras yang dilakukan bapanya untuk negara.

“Saya tumpang gembira dengan pelantikan ini. Sebagai anak saya sangat berbangga dengan setiap kejayaan yang beliau terima selama berkecimpung dalam bidang politik.

“Saya akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepadanya. Kita semua tahu yang dunia politik ini adalah minat utamanya,” katanya.

Dafi berkata, sebagai anak dia melihat sendiri keadaan bapanya dan kagum dengan kerja kerasnya selama ini.

“Saya harap dia mampu menggalas jawatan ini dengan sebaik mungkin serta terus cemerlang dalam kerjayanya,” katanya.

Tak semua suka

Menurut Dafi, walaupun tidak ramai yang menghargai segala usaha keras yang dilakukan bapanya selama ini, namun dia melihat sendiri bapanya bekerja tanpa mengenal erti penat.

“Saya tahu dia suka dengan kerjanya, tapi saya juga kasihan melihat keadaan dirinya yang penat bekerja.

“Tambahan pula tidak semua orang betul-betul menghargai apa yang dia lakukan. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana faham keadaan sekarang orang ramai yang tertekan serta ada sesetengah yang tidak sependapat dengannya. Namun, perkara ini sudah menjadi asam garam dan sebahagian daripada kerjayanya,” katanya.

Dafi berkata, Ismail selalu bertanya kepadanya jika ada menerima mesej peribadi atau terbaca apa saja keluhan atau masalah daripada orang ramai.

“Dia seboleh mungkin cuba nak tahu apa lagi keluhan yang dihadapi dan mahu cuba membantu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sedia maklum, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa pelantikan baru semalam dan melalui kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan, Datuk Seri Ismail Sabri telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.