Bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar Alberto menghembuskan nafas terakhir di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Seorang diri

Tony yang juga merupakan penerbit residen Luncai Emas dan pemuzik undangan untuk rakaman album dan lagu sering berada di studio terbabit.

Mengesahkan berita pemergian Tony, Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, tiada sesiapa di studio kecuali arwah dan jurutera muzik, Hanafi berikutan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Arwah Tony memang dah tiga tahun menetap di studio, Datuk M Nasir sediakan satu bilik di situ untuk arwah berkarya.

“Kebetulan semalam Nafie ada singgah studio sebab nak ambil barang yang tertinggal. Selepas pintu diketuk dan tiada sebarang respon, terus dia buka pintu pakai kunci spare dan jumpa arwah sudah tidak bernyawa di atas sofa.

“Kemudian dia call ambulans dan pihak paramedik sahkan Allahyarham dah meninggal dunia lebih kurang empat jam sebelum ditemukan,” katanya.

Penyakit kronik

Berita pemergiannya mula dikongsi beberapa penggiat seni pada jam 3 pagi antaranya Ahtan Jinbara dan Along Exists.

Along menerusi media sosialnya memberitahu, dia bergegas ke Luncai Emas untuk melawat jenazah dan menunggu pihak hospital tiba untuk proses selanjutnya.

Keon turut berkata bahawa arwah mempunyai sejarah penyakit kencing manis kronik.

“Arwah menghidap penyakit kencing manis, tetapi setakat ini, kami masih belum memastikan punca kematian kerana menunggu panggilan hospital.

“Kami akan uruskan segalanya memandangkan adik – beradik arwah semua menetap di Johor Baharu,” tambah Keon.

Pemain bass berbakat

Komposer terkenal, Datuk M. Nasir menyifatkan pemergian Tony sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik.

Menurut M. Nasir, Allahyarham Tony merupakan seorang pemain bass dan komposer yang berbakat besar.

Tony juga digambarkan beliau sebagai seorang yang ahli kumpulan muzik yang jati.

Allahyarham Tony adalah anggota asal Spider yang turut dianggotai Tam Mustafah selaku vokalis, Nafie (pemain gitar) dan Aie (pemain gitar).

Namun, Tony meninggalkan kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin, posisinya pula digantikan Iss.