Selepas hampir seminggu nama Fiza Halim terpalit dengan tuduhan sebagai ‘kaki sondol’ dan ‘mata duitan’, dia masih belum berhasrat untuk membersihkan namanya itu. Bagaimanapun, Fiza dilihat mempunyai strategi dan pelan tersendiri bagi menangani masalah ini.

Laporan Polis

Bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim, atau nama penuhnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, mengaku tidak berniat untuk melarikan diri daripada pihak media yang cuba mendapatkan kenyataannya berhubung isu tohmahan bekas adik ipar mengenai dirinya baru-baru ini.

Menurut Fiza, dia sebaliknya telah dilarang untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa setelah membuat laporan polis Rabu lalu mengenai perkara tersebut.

“Minta maaf,saya tak dibenarkan memberi apa-apa kenyataan berhubung perkara berbangkit dan tular baru-baru ini.

“Bukan nak mengelak media atau apa, tapi memang sudah dimaklumkan supaya pihak polis jalankan siasatan terlebih dahulu.

“Dalam minggu depan insya-Allah saya akan mendapat keputusan hasil siasatan,” katanya.

Difahamkan, Fiza telah membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara pada 7Julai lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Tunggu dan lihat

Tambah Fiza, semua mesej dan komen berbentuk aib, hina, cacian dan makian yang diterimanya selama empat hari sebelum ini sudah pun sampai ke pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Fiza yang juga merupakan seorang pelakon turut memberi amaran kepada semua yang pernah meninggalkan komen dan mesej kepadanya agar bersiap sedia untuk disiasat polis.

“Jadi bersiap sedialah ya semua yang pernah hantar mesej dan komen kepada saya. Akan disoal siasat. Tak mahu cakap banyak, kita tunggu dan lihat saja,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, muncul satu pendedahan daripada seorang wanita yang mendakwa bekas adik iparnya di media sosial mengenai punca sebenar perceraian Fiza dengan bekas suaminya, Aizat Al Jefri.

Antara yang didedahkan oleh wanita tersebut termasuk Fiza menjalin hubungan dengan Aizat ketika dia masih bergelar isteri orang, kaki kikis, tidak menghormati keluarga mentuanya serta beberapa tuduhan lain yang berkait.