Pelakon Sharifah Sakinah menasihatkan orang ramai yang merasakan bahawa diri mereka memiliki simptom-simptom menghidap Attention-Deficit Hyperactivity Disorder atau ADHD supaya mendapatkan pengesahan daripada doktor dan bukan melalui kajian sendiri menerusi enjin carian Google.
Beri nasihat
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al- Khaired, 32, berkata bahawa dia telah mendapatkan pengesahan lebih daripada seorang doktor tentang masalah kesihatan mental yang dialaminya.
“Terlebih dahulu, mereka yang merasakan ada simptom-simptom ADHD atau bipolar, sila dapatkan pengesahan daripada doktor, bukan seorang tetapi ramai (lebih daripada satu doktor). Bukan melalui diagnosis daripada Google,” ujarnya.
Tiga minggu jalani interview
Menurut pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu, ia tidak semudah seperti disangka kerana mengambil masa sehingga tiga minggu untuk melalui beberapa proses bersama doktor untuk mengesahkan penyakit mental yang dialaminya.
“Saya mengambil masa selama tiga minggu untuk diinterview dengan doktor termasuk menghubungi keluarga serta menjalani beberapa ujian untuk didiagnosis.
“Proses itu tidak semudah seperti menjawab soalan secara dalam talian untuk mengenalpasti sebarang simptom,” ujarnya.
Tanggapan masyarakat
Dalam pada itu, Sakinah memberitahu bahawa masyarakat sering menganggap masalah ADHD menyebabkan seseorang itu menjadi hiper semata-mata.
“Tapi sebenarnya ADHD adalah lebih kompleks seperti selalu berfikir yang bukan-bukan (overthinking), tergesa-gesa (impulsive) dan masalah mengatur emosi,” katanya,
Dalam perkongsian itu juga, Sakinah menasihatkan individu yang telah disahkan menghidap ADHD supaya mengikut saranan dan nasihat yang telah diberikan doktor walaupun mengakui sukar untuk menjadi seorang yang berdisplin.
“Paling penting adalah dengan mendapatkan sokongan yang baik untuk berdepan dengan cabaran harian.
“Dunia mungkin tidak memahami kamu, siap boleh kena label mengada-ngada atau over (keterlaluan). Tapi akhirnya kita perlu jadi baik untuk diri sendiri. Penerimaan diri sendiri adalah kuncinya,” katanya.
Sakinah dipercayai menerima rawatan di Sweden selepas dia mengikut teman lelakinya iaitu Michael Hansen pulang ke negara tersebut. Sebelum ini, Sakinah telah membuat pengakuan bahawa dirinya bakal meninggalkan Malaysia dan dunia lakonan buat sementara waktu. Malah, dia memerlukan perubahan dari segi pemandangan bagi merawat masalah yang dihidapnya.
Jelas Sakinah lagi, istirehat ini tidak bermaksud semua minat dan usahanya dalam bidang lakonan akan berakhir. Bahkan, dia merancang untuk kembali lebih kuat dan lebih sihat daripada sebelum ini jika kembali beraksi semula.