Semalam, pasangan selebriti dan usahawan terkenal, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang difahamkan adalah berkaitan kes pengubahan wang haram.

Menurut laporan Harian Metro, pasangan tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 4 pagi semalam.

Sarah hanya teman Shuib

Susulan berita tersebut, pihak pengurusan Indigital Music tampil untuk memberi keterangan.

Menurut syarikat tersebut, dimaklumkan bahawa Siti Sarah tidak terlibat dengan kes tersebut dan hanya menemani suaminya sahaja.

“Untuk makluman hanya keterangan Shuib saja yang diambil SPRM manakala Sarah hanya menemani suaminya saja.

“Buat masa ini pihak kami tidak dapat mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan perkara itu untuk tidak mengganggu siasatan SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara kita,” jelasnya.

Bagi kerjasama sepenuhnya

Pihak Indigital Music juga memaklumkan bahawa mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan SPRM.

“Namun apa yang kami dapat pastikan adalah kerjasama sepenuhnya telah diberikan kepada pihak SPRM untuk membantu siasatan.

“Setakat ini sahaja penjelasan yang dapat kami berikan berkenaan isu ini kerana pihak kami turut masih menunggu perkembangan selanjutnya dari pihak SPRM,” katanya.

Menerusi laman Instagram Siti Sarah, penyanyi tersebut juga memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka dipanggil hanya untuk memberi kerjasama sahaja.

“Alhamdulillah syukur. Kami dipanggil hanya untuk memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” tulisnya sebagai kapsyen.

Beberapa individu lain terlibat juga

Difahamkan sehingga jam 7.30 malam semalam, Shuib masih berada dalam siasatan manakala Siti Sarah telah dilepaskan kira-kira jam 5 petang.

Selain pasangan tersebut, terdapat beberapa individu termasuk seorang usahawan terkenal yang dipanggil untuk memberi keterangan.

Sumber berkata pihak SPRM juga akan memanggil beberapa lagi individu lain yang turut terlibat dalam kes yang sama.

Kes ini disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM 2001.

Semoga semuanya dipermudahkan kepada pasangan ini.