Maaf, Dr Adham, air suam tak boleh rawat COVID-19

Kecoh jadinya bila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyarankan supaya orang ramai menggunakan air suam untuk mencegah wabak COVID-19. Lebih haru lagi, saranan itu dibuat ketika temubual khas di televisyen.

Imej dari: MH Daily

Kementerian Kesihatan sendiri tolak saranan Dr Adham

Siapa lagi yang bertungkus-lumus berperang di barisan hadapan sepanjang negara mengekang penularan COVID-19 kalau bukan Kementerian Kesihatan dan kakitangan-kakitangannya. Kalau tengok TV, tentu akan tahu maklumat terkini berkenaan wabak ini yang dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah setiap hari.

Sudah tentulah KKM yang paling tahu berkenaan virus ini. Jadi bila menteri mereka sendiri yang buat kenyataan yang tidak disokong dengan bukti oleh kajian saintifik, tiada pilihan lainlah melainkan menolak kesahihannya.

Lebih teruk lagi, petua minum air suam ini terus mengundang kecaman daripada orang awam.

Bila Dr Amalina Bakri masuk campur

Dr Amalina Che Bakri, seorang pakar bedah dari Malaysia yang telah membina kareer yang kukuh dalam bidang perubatan di United Kingdom pun antara yang berani bersuara untuk menyangkal keberkesanan petua minum air suam yang diberi Dr Adham Baba.

Menegaskan bahawa petua itu adalah mitos, Dr Amalina juga berkongsi maklumat pencegahan COVID-19 seperti yang disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seperti mengamalkan kebersihan diri, jangan sentuh muka, duduk di rumah, dan amalkan penjarakan sosial. 

Kena marah dengan orang pun Dr Amalina tidak kisah, kerana bagi beliau, segala hujah yang diberi adalah berdasarkan fakta dan bukti kajian saintifik yang telah dijalankan.

Betullah tu apa yang Dr Amalina cakap. Berhati-hatilah ketika memberi kenyataan kepada umum. Kalau tiada bukti yang tepat, janganlah semudah itu berkata-kata.

Minum air suam penting untuk mengekalkan hidrat dalam badan, tetapi ini bukanlah bukti bahawa ia mampu merawat COVID-19. Jangan koyak ya, Dr Adham dan semua penyokong beliau, ambil sahaja pengajarannya daripada cerita ini.

Share