Tahun lompat merupakan tahun yang datang setiap 4 tahun sekali, di mana ia diwujudkan untuk memberi bumi masa tambahan diperlukannya untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi matahari.

Tahun lompat pertama kalinya berlaku pada zaman pemerintahan Rom yang menggunakan kalendar 355 hari. Bumi mengambil masa selama 365.242189 hari atau 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 45 saat untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi matahari.

Pada kebiasaannya, 1 hari akan ditambah pada setiap tahun lompat pada hari akhir bulan Februari menjadikan tahun lompat mempunyai sebanyak 366 hari.

Tradisi melamar di Ireland

Di Ireland, masyarakat di sana percaya bahawa tarikh 29 Februari merupakan hari yang sesuai bagi kaum wanita untuk melamar teman lelaki mereka.

Tradisi ini bermula sejak ratusan tahun dahulu di mana seorang biarawati Ireland bernama St. Brigid meminta izin wanita untuk melamar kepada lelaki dari seorang saint Ireland, St. Patrick.

St. Patrick bersetuju untuk membenarkan kaum wanita melamar kepada lelaki tetapi hanya dibenarkan pada satu hari, iaitu setiap 4 tahun sekali pada tarikh 29 Februari.

Mereka percaya jumlah lelaki yang melamar perempuan dalam tempoh 4 tahun sama dengan jumlah perempuan yang melamar pada tarikh tersebut tahun yang sama.

Namun, tradisi perempuan melamar lelaki ini tidak terlalu mendapat perhatian kerana orang ramai masih percaya kaum lelaki yang patut melakukan lamaran dan bukannya perempuan, walaupun ada sesetengah yang merasakan perempuan yang melamar lebih romantik.