Percaya zodiak: biasa buat, tapi haram

Kalau anda sering menggunakan Twitter atau Instagram, tipulah kalau tak pernah nampak pos berkaitan dengan zodiak. Banyak netizen, lagi-lagi perempuan yang suka hebohkan zodiak mereka yang berbeza mengikut tarikh lahir masing-masing.

Apa itu zodiak? Zodiak ni atau nama lainnya bintang 12, sebenarnya satu cabang astrologi di mana garisan akan dilalui oleh matahari dalam masa setahun. Garisan ni pula melengkung khayalan atau orang putih kata ‘imaginary line’.

Bila matahari lalu garisan tersebut, dia akan lalu 12 bahagian. Itu sebabnya ada 12 bahagian yang dinamakan mengikut nama gugusan bintang atau kumpulan bintang. Nama gugusan tersebut ialah Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo, Libra, Scorpio, Sagitarius, Capricorn, Aquarius, dan Pisces.

Setiap zodiak mempunyai maksud tersendiri

Zodiak ni senang cerita digunakan untuk meramal sifat dan kehidupan seseorang, orang juga guna zodiak ni untuk tilik nasib. Bila sudah tahu zodiak masing-masing, senanglah nak tahu hidup orang tu baik atau buruk pada masa akan datang.

Bila seseorang sudah tahu apa fungsi zodiak, mesti lah dia teruja nak tahu pasal masa depan dia. Nasib dan masa depan yang baik sudah tentu dapat menaikkan semangat untuk terus mengejar impian, kalau nasib tak baik tu anggap sajalah zodiak ni dongeng sahaja.

Sebagai contoh, orang yang zodiaknya Libra adalah seorang yang diplomatik dan senang untuk bekerjasama. Jadi, mungkin kepercayaan pada zodiak akan memberi impak yang besar pada individu tersebut.

Kalau anda percaya, baik berhenti sekarang

Zodiak dan apa-apa tilikan nasib ni syirik sebenarnya. Bagi mereka yang beragama Islam, haram untuk percaya pada benda lain selain Tuhan, sebab hanya Tuhan sahaja yang mengetahui tentang sifat dan juga masa depan seseorang. 

Ada juga pendakwah yang mengatakan bahawa mereka yang mempercayai tanda zodiak ini tidak akan diterima solatnya oleh Tuhan selama 40 hari. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan ini mengarut dan sangat berbahaya jika dipercayai.

Mungkin kepercayaan zodiak ini sudah menjadi amalan yang biasa, lagi-lagi topik ini sering diperkatakan dan dibincangkan di media sosial, di mana kebanyakan pengguna merupakan orang muda, yang lebih mudah terpengaruh dengan benda sebegini. 

Apa-apa pun, buatlah yang terbaik dalam hidup, dan jangan hidup berpandukan tilikan bintang.

Share