Tiba masanya untuk angkat Keluang Man sebagai adiwira Malaysia

Kalau  bab filem yang melibatkan pesakit mental, confirm tajuk pertama yang keluar dari mulut netizen ialah The Joker. Akan tetapi, ramai yang tak tahu tentang wira kebanggaan industri tempatan, iaitu Keluang Man.

Keluang Man ni siri animasi televisyen, hasil Kamn Ismail yang teringin sangat rakyat tempatan ada wira tersendiri. Disiarkan pada era 90-an, siri ini menjadi cerita yang wajib ditonton oleh kanak-kanak dan Keluang Man pula disiarkan di TV1 .

Ramai yang menyamakan Keluang Man dengan karakter omputeh The Joker, dan memberi nama samaran ‘Joker Malaysia’ walaupun banyak perkara yang bezakan mereka dua. Perkara paling ketara ialah Keluang Man melawan orang jahat, Joker pula dianggap orang jahat.

Animasi hero ini lain daripada yang lain, sebab Keluang Man ni tak ada apa-apa kuasa yang menarik, dia hanya bersifat jujur dan melawan anasir jahat menggunakan naluri seorang manusia biasa. 

Cerita ni tentang apa?

Keluang Man merupakan seorang wira yang membela mereka yang tidak dapat mempertahankan diri daripada orang jahat. Apa yang menakjubkan ialah wira ini bermula sebenarnya seorang pesakit mental yang ditempatkan di Hospital Tampoi.

Menolak stigma pesakit mental, Keluang Man yang dibantu rakan seperjuangannya Tiong Man, berganding bahu untuk mengalahkan musuh dan penjenayah negara kerana pihak polis tidak mampu untuk ke tempat kejadian secepat mungkin.

Satu fakta yang menyedihkan pula, Keluang Man sebenarnya seorang jaguh silat yang sihat tetapi pada suatu hari van yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung. Selepas itu, tunang wira ini juga telah mencederakan kepalanya, ini menyebabkan Keluang Man menjadi gila.

Harus dijadikan filem blokbuster

Animasi yang terselit mesej yang elok seperti Keluang Man ini sudah sampai masanya untuk menerima transformasi dan perubahan. Mungkin cerita ini boleh dikaji semula dan dijadikan filem atau live-action yang pasti akan menarik perhatian orang dewasa juga.

Imej dari: posting.org

Isu kesihatan mental dan juga pesakit mental telah meningkat dengan mencanak dalam dekad ini. Mungkin cerita seperti Kluang Man mampu menaikkan semangat pesakit mental untuk terus menentang apa yang mereka lalui, dan penonton biasa pula patut faham yang pesakit mental boleh mendatangkan kebaikan, sekali gus melawan stigma masyarakat yang memandang pesakit mental sebagai “gila”.

Pada tahun 2017, ada khabar angin yang mengatakan bahawa Keluang Man akan dijadikan filem. Malangnya, pada April 2018, penerbit menarik diri daripada mengarah filem ini berikutan beberapa sebab tertentu yang tidak dinyatakan, walaupun projek ini bberpotensi menjadi kejayaan yang besar.

Share