Rasa macam baru sahaja reda isu Vivy Yusof dituduh sebagai ‘majikan kejam’ sebab kenyataannya yang menganggap wanita hamil sebagai ‘lemah’ kerana menggunakan kehamilan mereka sebagai alasan untuk tidak masuk bekerja, sekarang timbul pula isu baru.

Cerita baru ini bermula dengan sebuah video yang dimuat naik Vivy – video yang merakamkan beliau cuba bercakap bahasa Melayu sepenuhnya sepanjang hari tanpa ada satu pun perkataan bahasa Inggeris. 

Tapi sudah namanya orang Melayu yang tinggal di Malaysia, tidak peliklah apabila perkara ini tiba-tiba menjadi kontroversi hangat.

Netizen anggap Vivy permainkan bahasa ibunda

Sebenarnya, netizen bukanlah terlalu marahkan Vivy bercakap bahasa Melayu, tapi mereka marahkan tindakan Vivy yang dianggap seperti mempermain-mainkan bahasa ibunda mereka. Video tersebut dianggap lebih menjengkelkan apabila setiap kesalahan perkataan yang disebut dan ‘dibuat-buat’ pelat diiringi dengan gelak tawa.

Maklumlah, Vivy kan orang Melayu. Jadi apabila ‘cabaran’ itu dibuat, sudah tentulah banyak hati yang tergores. Kata mereka lagi, apa yang Vivy buat ini hanyalah untuk raih sokongan orang Melayu untuk produk yang bakal dilancarkan. Kalau bukan sebab bisnes, dia terus jadi ‘orang London’.

Agaknya, komen-komen yang ditinggalkan netizen di ruangan komen video tersebut terlalu berunsurkan kecaman sampaikan ia terus ditutup. 

Dibesarkan guna bahasa Inggeris, sukar untuk Vivy berbahasa Melayu

Tapi kata Vivy, tidak bertutur dalam bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan seharian bukanlah bermaksud beliau tidak mencintai bahasa tersebut dan negara Malaysia. Malah katanya, jika beliau bertutur dalam bahasa Melayu, ramai rakan mentertawakan usahanya dan dianggap ‘mengada-ngada’.

Kalau begitu ceritanya, patutlah netizen marah sangat. Orang Melayu tapi tidak fasih cakap Melayu. Bila dicuba, dikatakan ‘mengada-ngada’ pula tu. 

Lain betul ceritanya dengan aktres Sarimah Ibrahim, yang terang-terang berdarah kacukan dan pernah tinggal di luar negara tapi masih mampu fasih berbahasa Melayu kerana beliau sendiri bersungguh-sungguh ingin fasih.

Jadi nampak jelaslah isunya sekarang, tidak fasih bukan bermaksud tidak perlu bertutur, tetapi yang penting ada usaha. 

Tapi apabila usaha dijadikan bahan gelak ketawa, memanglah netizen akan mengamuk.