Umum mengetahui bahawa sekarang ini negara dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jadi untuk membantu kebanyakan rakyat meneruskan kehidupan mereka tanpa sumber pendapatan, pihak kerajaan telah pun mengumumkan pakej PRIHATIN.

Golongan B40, M40, dan T20 semuanya ada bahagian masing-masing, walaupun berbeza daripada jumlah dan jenis bantuan. Tapi apabila ada beberapa insan yang mempertikaikan bantuan kerajaan ini, perkara positif sebegini pun boleh melarat sehingga ke negatif.

Aleeya Zailan sindir golongan B40 akan ‘kaya’ semasa PKP

Perkara ini jadi isu hangat apabila Aleeya Zailan, seorang usahawan yang menurut netizen tidak dikenali pun sebelum ini, memuat naik kenyataan di Instagram mempertikaikan pakej PRIHATIN kerajaan. Katanya, golongan B40 akan jadi ‘kaya’ sepanjang PKP sehingga mampu beli iPhone dan TV baru, tapi akan jadi ‘miskin’ selepas tamat PKP.

Imej dari: hiburan.cari

Lebih menghangatkan keadaan, Vivy Yusof yang sebelum ini sudah banyak terpalit kontroversi turut sama meninggalkan komen beliau yang bersetuju dengan kenyataan Aleeya. Tambah Vivy, perniagaan sepertinya akan mengalami kerugian kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa tetapi masih perlu membayar gaji pekerja.

Apabila kenyataan kedua-duanya dimuat naik ke Twitter oleh salah seorang pengguna yang jelas marah dengan tindakan mereka, maka bermulalah kecaman oleh netizen dari pelbagai sudut.

Netizen bengang, desak Vivy letak jawatan

Vivy Yusof dilantik sebagai ahli lembaga pengarah UiTM pada Mei tahun lalu, UiTM – sebuah institusi pengajian tinggi yang membuka peluang kepada warganegara yang kebanyakannya daripada golongan B40 dan M40 untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

Jadi apabila Vivy dikecam kerana memperlekehkan mereka, apatah lagi golongan ini jugalah yang melaburkan wang ringgit untuk tudung keluaran dUCk, mestilah ramai yang kecil hati. Ini juga memaksa mereka untuk mendesak Vivy meletak jawatan sebagai ahli lembaga pengarah UiTM melalui sebuah petisyen.

Imej dari: carigold.com

Vivy mohon maaf, tapi dipersenda

Sebagai respon, Vivy telah memuat naik sebuah video beliau memohon maaf atas isu B40 tersebut. Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil atas mereka yang memutar-belitkan kenyataan sebenarnyanya.

Tetapi lain yang jadi apabila video permohonan maaf Vivy menjadi bahan jenaka netizen. Kata mereka, ternyata Vivy pandai bertutur dalam bahasa Melayu, dan memohon maaf sambil memaksa air mata palsunya keluar.

Senang cerita, ‘tiada maaf bagimu, Vivy!’

Tapi, sejauh mana marah netizen ini akan bertahan? Sebab kalau ikutkan cerita-cerita sebelum ni, memang tidak akan pergi jauh. Sebabnya, setiap kali Vivy keluarkan koleksi tudung baru, sekejap sahaja sudah licin dari rak!