Tanpa ada desas-desus mengenai pergolakan rumah tangga, pelakon popular Diana Danielle, memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil, yang juga pelakon dan pengarah.

Diana memfailkan permohonan tersebut pada awal bulan ini atas sebab berlakunya syiqaq atau perbalahan yang berpanjangan dalam rumah tangga.

Kemelut rumah tangga

Permohonan cerai yang disifatkan ‘tiba-tiba’ oleh netizen sememangnya menggemparkan dunia hiburan tanah air dan rakyat Malaysia.

Apatah lagi apabila pasangan tersebut baru sahaja menunaikan umrah bersama-sama sebulan yang lalu.

Ia membawa kepada pelbagai persoalan mengenai kemelut rumah tangga pasangan tersebut yang tidak diketahui umum.

Enggan lafaz talak

Keluarga kecil tersebut semasa hari raya pertama 2022. Sumber: @faridkamilz

Bagaimanapun, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari enggan melafazkan talak atas sebab masih sayangkan keluarganya.

Farid dan Diana telah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 10, dan Aurora, 7.

“Saya masih sayangkan Diana dan tentunya, dua cahaya mata saya, Muhammad dan Aurora,” kata Farid kepada media.

Akan tetapi, Farid mendakwa bahawa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anak-anaknya dan difahamkan pasangan tersebut tidak lagi tinggal serumah.

Oleh sebab itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof mengarahkan pasangan tersebut untuk menyertai proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Permohonan tersebut akan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.