Seperti diketahui, Malaysia mempunyai banyak racangan realiti yang tersendiri sehingga mampu melahirkan ramai anak seni yang kini mewarnai industri hiburan tanah air.

Saban tahun, ada sahaja program realiti yang baharu dikeluarkan oleh stesen televisyen tempatan bagi melahirkan lebih ramai lagi anak seni.

Namun, setakat ini belum ada lagi program yang boleh menewaskan program realiti kelahiran Astro iaitu Akademi Fantasia yang pernah mencipta satu fenomena suatu ketika dahulu.

Diadaptasi

Akademi Fantasi atau lebih dikenali sebagai AF merupakan rancangan realiti pertama di Malaysia yang diterbitkan oleh Astro.

AF memberi peluang kepada pesertanya untuk merebut gelaran juara dalam usaha menempatkan diri dalam industri hiburan.

Rancangan ini merupakan adaptasi program “La Academia” dari Mexico dan diolah oleh pihak Astro untuk menjadi Akademi Fantasia.

Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki versi sendiri rancangan ini kemudian diikuti oleh negara-negara lain.

Musim

Program ini juga mempunyai logo dan lagu temanya sendiri. Lagu tema rancangan dicipta khas oleh Aubrey Suwito yang berjudul ‘Menuju Puncak’ dan dinyanyikan oleh Juwita Suwito.

Porgram ini mempunyai 13 musim dan musim pertama disiarkan pada Jun 2003,  seterusnya menjadi salah satu daripada rancangan yang mencatat rating paling tinggi ditonton di Astro Ria pada masa itu.

Pada 2011, AF yang pada dikatakan itu berada di musim kesembilan bakal menamatkan program realiti itu namun kembali berisaran pada 2013 dengan mengubah nama serta format kepada AF 2013.

Disebabkan tidak mendapat sambutan, pihak AF kembali menukarkan kepada format yang lama dan rating program tersebut kembali tinggi pada musim 2014 shingga 2016.

AF 2016 merupakan musim yang terakhir meskipun pihak produksi ada membuat AF Megastar pada 2017 di mana musim tersebut telah mengumpulkan bekas bintang AF namun ianya tidak diteruskan pada tahun berikutnya.

Format Rancangan

Program ini mempunyai 10 minggu setiap musim , kecuali AF 2016 dimana ianya hanya lapan minggu sahaja.

AF juga mempunyai diari yang bersiaran setiap hari yang memaparkan kehidupan seharian mereka di banglo yang digelarkan sebagai akademi.

Pada hujung minggu, mereka akan berentap di konsert mingguan bagi menentukan siapa yang bakal tersingkir atau layak ke minggu seterusnya sehinggalah ke konsert akhir.

Seperti yang diketahui ramai, format rancangan ini bergantung kepada 100% undian pengundi dan pengundi yang memilih siapa yang menjadi juara serta siapa yang bakal tersingkir.

Meskipun ianya menimbulkan pelbagai kontroversi dan drama, namum pihak AF masih mengekalkan format tersebut sehingaa AF 2016. AF Megastar menggunakan format sedikit berbeza dimana pengundi tidak berkuasa 100% kerana ada juri professional yang turut mengadili perserta.

Sistem undian di AF menggunakan format SMS di mana peminat perlu menghantar undian kepada peserta kegemaran mereka.

Gelombang Tsumawi

AF juga pernah mewujudkan fenomenanya tersendiri apabila juara AF musim ke-3 iaitu Mawi telah mencipta satu fenomena yang luar biasa.Hampir setiap kedai menayangkan konsert mingguan AF pada ketika itu.

Fenomena itu digelar sebagai Gelombang Tsumawi oleh peminat-peminatnya apabila Mawi diumum sebagai juara pada ketika itu.

Sejurus tamat musim itu, Mawi juga telah merangkul banyak anugerah serta mengeluarkan single terbarunya sehingga kehidupan peribadinya juga menjadi tumpuan.

AF musim ke-3 telah menimbulkan satu fenomena yang amat menakjubkan berbanding musim AF yang lain.

Meskipun AF kini tidak lagi bersiaran namun, namanya masih gah dipersada industri seni kerana program ini telah melahirkan ramai perintis atau pelapis untuk industri muzik tanah air.

AF juga pernah memecah rekod sebagai prorgam realiti paling lama bertahan dengan 13 musim dan penghormatan itu telah dikiktiraf oleh Malaysia Books of Record.

Jika AF kembali di masa akan datang, diharap impak dan kesan akan kembali mencetuskan fenomena seperti dahulu, selari dengan dua cogan AF iaitu satu harapan, satu tujuan, satu destinasi. Mengubah impian menjadi realiti dan realitinya di sini, inilah Akademi Fantasia.