Setiap kali bergandingan bersama dengan mana-mana heroin, mesti akan timbul gosip bercinta.
Disebabkan itu Zul Ariffin berkata dia risau untuk bersikap ramah.
Gandingan terbaru
Baru-baru ini pelakon Zul Ariffin bergandingan bersama Uyaina Arshad dalam drama Love Elsa.
“Bagi saya, gosip ini sesuatu yang nak diperkatakan. Tapi ada saja gandingan saya dengan pelakon wanita seperti Mira Filzah yang tidak digosipkan. Benda ini sudah lama ada dalam industri.
“Jadi, sebelum saya masuk industri ini… saya sudah bersedia dengan perkara itu. Tapi ada kala saya jadi takut nak jadi ramah sangat… sebab takut orang fikir bukan-bukan dan kita pula jadi tak selesa.
“Terutama orang yang baharu dalam industri tiba-tiba terpalit gosip dengan kita… kesian dekat mereka. Macam saya, sudah lama dalam industri dan saya sudah biasa,”kata Zul Ariffin.
Hormat keputusan
Zul Ariffin menegaskan tidak perlu bersentuhan bagi menghayati watak, sebaliknya menghormati prinsip teman gandingan dalam sesebuah drama.
Katanya, adegan berpegangan juga bukan menandakan keserasian kerana banyak elemen lain yang dapat memudahkan lagi kerjasama sepanjang proses penggambaran.
“Saya tiada masalah memberikan kerjasama kepada mana-mana pelakon sama ada, orang lama atau aktres baharu malah menghormati pendirian rakan seperjuangan lain, terutama yang berhijab.
“Bagi saya kerja lakonan lebih kepada rasa hormat sesama pelakon. Kalau tak perlu bersentuhan, kita tak perlu buat pun jika tiada keperluan sebab bukan semua babak mesra memberi kesan.
“Di lokasi penggambaran juga adalah masa untuk kita lebih memahami pelakon lain, terutama rakan gandingan kerana bila datang lokasi baru kita faham dan tahu orang selesa dengan kita atau tidak.
“Lagi pun berlakon drama kita tidak ada banyak masa untuk sesi pembacaan skrip berbanding filem. Cuma bezanya dalam filem, saya lebih banyak watak aksi, tak sama macam drama,” katanya mengulas pendekatan lakonannya heroin berhijab Uyaina Arshad menerusi drama Love Elsa.
Kuat menyakat
Menurut Uyaina pula, pada mulanya dia gentar dengan aktor bertubuh sasa ini.
“Mula-mula gentar tapi lama-kelamaan saya rasa okay, Zul banyak membantu di set penggambaran jadi proses lakonan kami berjalan lancar.”
Tambah aktres ini lagi, Zul adalah seorang yang suka menyakat.
“Abang Zul suka menyakat. Kalau ikut rasa hati saya, nak bercakap dengan dia pun saya takut.”
Karya arahan Micheal Ang tersebut menjadi gandingan pertama Zul Ariffin bersama Uyaina yang juga seorang pengacara popular.