Pelakon terkenal Ben Amir bersetuju untuk membayar RM100,000 sebagai ganti rugi kepada syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd.
Pada 27 Mac 2020, pihak produksi mendakwa pelakon Ben Amir pulang ke Malaysia secara bersendirian dengan meninggalkan semua kru produksi dan pelakon di Scotland.
Tindakan sebegitu dianggap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri kerana penggambaran tersebut belum selesai sepenuhnya.
Setuju bayar
Dalam persidangan, Ben Amir, 32, bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 dengan lima kali bayaran ansuran sebanyak RM20,000 bermula pada 10 Mei 2022.
“Sekiranya defendan (Ben Amir) gagal membayar denda RM100,000 seperti yang ditetapkan, maka jumlah asal dalam kes saman itu seperti yang dituntut plaintif iaitu Elisa Vision sebanyak RM211,477 dikembalikan”.
“Mahkamah juga merekodkan defendan menarik balik pernyataan tuntutan balas yang dikemukan terhadap plaintif”, jelas hakim.

Berkat Ramadhan
Sementara itu, penerbit Elisa Vision Sdn Bhd, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain Ketika ditemui melafazkan rasa syukur apabila semuanya telah diselesaikan dengan cara baik.
“Alhamdulillah, saya bersyukur isu ini dapat diselesaikan secara baik. Saya pun sudah memaafkan dia atas apa yang berlaku. Bagi saya, ini berkat Ramadhan”.
“Dia pun orang yang baik dan saya tiada masalah dengannya kerana semua sudah selesai”, katanya.

Pada masa yang sama, Ben Amir yang ketika itu ditemui di luar mahkamah enggan ditemu ramah oleh pihak media.
“Kes dah selesai, no comment…kes selesai cara baik!” katanya.