Gara – gara memenuhi pelawaan untuk makan durian sambil berkaraoke, penyanyi lagenda Jamal Abdillah kini disiasat polis atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana menyertai satu majlis sosial.
Beli baja
Datuk Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 62 berkata dia berada di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak pada Jumaat lalu bagi mendapatkan baja untuk bisnes kolam ikan yang diusahakannya di Bukit Merah.
Namun, semasa tiba di Bidor, seorang kawan baik mengudangnya untuk singgah di sebuah dusun durian.
“Sebenarnya saya ke sana atas urusan mendapatkan baja untuk kolam ikan.
“Lepas itu kawan – kawan yang ada dusun durian ajak saya makan durian, saya ikut la. Orang jemput makan takkan saya nak tolak.. hanya singgah sekejap je.
“Betul itu adalah saya, jadi saya nak mohon maaf kepada semua kerana terleka,” katanya.
Seperti pesta
Berhubung suasana seperti sedang berpesta, penyanyi lagu Belenggu Rindu ini berkata ia berlaku secara kebetulan.
“Kebetulan tempat tersebut ada set karaoke.. jadi sambil makan saya menyanyi.
“Sebelum itu, saya pakai pelitup muka tapi bila nak makan dan nyanyi saya letak tepi,” kata Jamal.
Bukan hendak mempertahankan diri daripada dikritik, namun memberitahu, peminat berhak mengecam atau berasa tidak puas hati dengan apa yang telah berlaku.
“Saya faham perbuatan itu sensitif, tambahan semua orang tengah tertekan dan tak puas hati dengan banyak perkara. Jika saya dikecam dengan kesalahan ini saya reda. Tapi nak kata golongan kayangan itu tidaklah. Saya berada di tempat dan masa salah, benda tak dirancang,” tambahnya lagi.
Jaga hati
Semalam, Jamal juga menyatakan sudah memberikan sepenuh kerjasama ketika diminta hadir memberi keterangan kepada pihak polis.
Katanya, dia tiada masalah dengan SOP rentas negeri kerana ada surat menjalankan urusan perniagaan dengan syarikat yang berdaftar.
“Saya cuma mahu jaga hati kawan. Nak menolak takut ada yang berkecil hati, dan anggap saya sombong. Jadi, saya singgah sekejap untuk penuhi pelawaan mereka.
“Susah juga dibuatnya kerana hati kawan-kawan perlu dijaga. Memang agak serba-salah. Apapun saya sudah memberi keterangan di Balai Polis Tapah, petang semalam dan perkara ini dalam siasatan.
“Saya bagi kenyataan sebenar dan tiada yang diselindungkan. Polis pun sudah melawat kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya yang menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan denda yang dikenakan.