Nabil Ahmad merupakan seorang pelakon, pengacara, pelawak dan penyampai radio yang cukup verstail di mana dia kerap muncul di pelbagai rancangan hiburan tanah air.
Namun, baru-baru ini dia tampil menjawab cadangan netizen terhadap industri hiburan.
Tidak setuju dengan netizen
Nabil mengatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan cadangan netizen yang ingin memboikot program hiburan kerana dianggap tidak berfaedah ketika negara kini berdepan dengan pandemik Covid-19.
Perkara tersebut muncul ekoran beberapa stesen televisyen tetap meneruskan program hiburan semasa tempoh PKPB dikuatkuasakan yang telah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan netizen.
Disebabkan itu, Nabil telah meminta netizen berfikir secara matang dan tidak terpengaruh dengan emosi semasa memberi cadangan atau pendapat.
Hormat pendapat
Menurut mStar, Nabil tetap menghormati segala pandangan yang diberikan netizen malah, dia turut menjelaskan bahawa ramai yang akan hilang kerja serta punca pendapatan seperti yang terlibat dalam penggambaran iaitu kru produksi dan lain-lain.
“Saya baca semua komen tu, saya hormati pandangan semua kerana masing-masing ada pendapat sendiri dan saya sebagai pengacara pun dibayar oleh stesen.
“Mereka nak boikot dan berharap program TV ini dihentikan, pernah fikir tak berapa ramai orang akan hilang sumber pendapatan, kru poduksi, abang-abang prop, jurukamera akan terkesan akibat tiada pekerjaan, anak bini dan keluarga mereka siapa nak tanggung?
“Saya anggap mereka ini tak faham, mereka hanya melihat apa ditayangkan di hadapan skrin, tapi lupa di sebalik kamera ada beratus yang perlu menyara keluarga mereka,” katanya kepada mStar dalam satu sidang media.
Rintihan dan kebimbangan kru
Nabil turut memberitahu mStar bahawa dia kerap mendengar rintihan dan kembimbingan kru produksi yang berharap program TV ini dapat diteruskan demi kelangsungan hidup mereka.
“Sejujurnya ramai yang mengadu terutamanya pekerja belakang tabir yang mengharapkan kerja ini untuk terus menyara hidup.
“Bayangkanlah kalau program TV ini dihentikan dan diboikot, ke mana mereka nak pergi, kau sedap minta boikot, habis tu mereka belakang tabir ini macam mana?
“Banyak pihak akan terkait jika program ini dihentikan, penaja dah bayar, yang beli iklan pun dah keluar duit, dalam masa sama stokis dan ejen juga berharap dapat jual produk,” katanya lagi.
Fikir isu penting
Nabil turut berkata yang netizen perlu memikirkan sesuatu isu yang lebih penting dan tidak hanya sekadar menjadi hero di media sosial.
“Kalau rasa tak suka, kau seorang sahajalah yang boikot tak perlu ajak orang lain, mengajak orang lain boikot sesuatu pekara tak kisahlah program TV atau makanan sekalipun adalah tindakan yang kurang baik.
“Cukuplah jadi keyboard warrior, kalau tak suka ada acara lain yang boleh mereka buat. Mungkin mereka pun lupa TV itu ada butang off!” katanya kepada mStar.
Haihh macam ni pun ada yaa. Mereka juga nak cari rezeki untuk keluarga yang penting kita semua jaga S.O.P tak kira dimana kita berada.