Pasangan selebriti Amyra Rosli dan Amar Baharin baru-baru ini telah meraikan ulang tahun pertama anak kedua mereka, Ayra Aryssa.

Beberapa keping gambar telah dikongsikan oleh Amyra yang mempamerkan keluarganya menyambut ulang tahun anak keduanya itu namun, sepertinya foto-foto tersebut telah mendatangkan reaksi kurang senang daripada para netizen.

Tak sensitif, membazir

Foto-foto yang dimuat naik menerusi laman Instagram Amyra itu memaparkan aksi mereka sekeluarga bergambar seperti sedang bermain dengan krim kek.

Melihat perkara tersebut, kebanyakan netizen membanjiri ruangan komen di hantaran tersebut, mengatakan bahawa tindakan itu tidak patut dan tidak sensitif susulan rata-rata rakyat kini hidup dalam keadaan bersederhana.

Ada juga netizen yang mengatakan tindakan sebegitu disifatkan satu pembaziran dan tak sepatutnya dikongsikan untuk tatapan umum.

Kek ‘dummy’

Berikutan ramai yang meluahkan ketidapuashati mereka terhadap foto-foto tersebut, pemilik akaun Instagram Mad About Cake tampil untuk membuat penjelasan.

Jelasnya, kek yang dibuat untuk sesi fotografi itu adalah kek ‘display’ dan diperbuat dari suku bahagian kek dan selebihnya adalah dummy dan krim. Pemilik akaun tersebut turut memohon maaf kepada mereka yang terasa.

Waktu-waktu pandemik ni, yang mana ramai yang terkesan, harapnya masing-masing ada lah rasa empati dan sensitiviti. Apa pun, bertabahlah semua!