Beberapa hari lalu, video pendek yang mempamerkan Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad memberi nasihat untuk wanita mendapat jodoh cepat, telah menerima kecaman yang hebat daripada para netizen.

Video durasi seminit itu menunjukkan Dr Muhaya mengatakan bahawa jika seseorang wanita ingin mencari jodoh cepat, mereka perlu bodoh-bodoh sikit kerana lelaki lagi suka wanita bodoh.

Namun begitu, berbeza untuk Datuk Nurul Hidayah atau Nurul Zahid yang sepertinya mempunyai pendapat yang berlainan daripada golongan netizen yang mengecam Dr Muhaya.

Intrepretasi yang berbeza

Melalui satu entri di Instragam, beliau telah berkongsi pandangan tersendiri dengan mengatakan bahawa pesanan “orang tua” ini penuh dengan kiasan.

“Kalau orang tua-tua pesan dengan ‘kiasan’ tak perlu ‘sentap’. Ambil yang positif dan fikir dahulu sebelum kita komen dengan emosi,” tulis Nurul Zahid.

Dia mengulas bahawa kemungkina para netizen salah faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhaya apablia beliau mengatakan wanita perlu bodoh-bodoh sikit.

“Kebanyakan lelaki Islam, Melayu, Asia suka perempuan yang berperwatakan keibuan, lembut tetapi tegas, hormat kepada keluarga dia dan tahu membawa status seorang isteri apabila berkahwin.

“Buat-buat bodoh dan bodoh adalah dua pemahaman yang berbeza. Kita bincang dalam konteks Asia. Cara didikan, agama dan pendedehan mereka berbeza,” tulisnya di kapsyen entri tersebut

Suara sokongan

Ekoran perkongsian tersebut, ramai para netizen yang menyuarakan sokongan dengan penjelasan beliau.  

Malah, ada yang mengatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Dr Muhaya itu telah disalah anggap oleh ramai.

Apa-apa pun, Dr Muhaya telah tampil lewat petang semalam untuk memberi maklum balas terhadap kecaman para netizen. Ikut kepada pendapat masing-masing sama ada penjelasan beliau diterima ataupun tidak.