Genap seminggu menimang cahaya mata ketiga pada 15 Jun lalu, Datuk Yursy Abdul Halim dan isterinya Datin Lisa Surihani mengumumkan nama anak lelaki mereka itu.

Dedah nama anak

Perkara tersebut dikongsikan Lisa, 35, menerusi Instagramnya sebentar tadi sambil memuat naik gambar bayi lelakinya itu yang dipangku kakak dan abangnya.

“Assalamualaikum. Hai semua. Kami nak memperkenalkan adik kami yang sudah berusia tujuh hari. Namanya Yunos Laith bin Yusry,” tulisnya.

Menurut Lisa, nama Yunos yang diberi kepada bayi lelakinya itu merupakan nama salah seorang nabi.

Sementara nama Laith pula membawa maksud berani seperti singa.

“Rawr! Kami sangat sayangkan dia. Dia dilahirkan pada 15 Jun yang merupakan tarikh lahir Daddy. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan,” tulisnya lagi.

Ucapan Hari Bapa

Dalam entri yang berbeza, pelakon filem Istanbul Aku Datang itu turut memberikan ucapan istimewa kepada suami tercinta, Yusry bersempena dengan Hari Bapa yang disambut pada 20 Jun.

“Sangat bersyukur dengan cara awak melayani anak – anak kita, Yong dan Yeop dengan sabar dan penuh kasih sayang dan sekarang dengan Lang pulak.

“Bulan Jun yang cukup bermakna untuk diingati atas pelbagai sebab. Selamat Hari Bapa, bapa kepada anak – anak kami, YL,” katanya.

Lisa selamat melahirkan bayi ketiganya yang dilahirkan dengan berat 3.49 kilogram (kg) pada pukul 2.30 pagi 15 Jun lalu.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 itu sebelum ini dikurniakan dua orang anak iaitu Yahaira Leanne, 6, dan Yusof Leonne, 4.