Minggu lepas, kehadiran PU Riz di majlis perkahwinan adik Neelofa mendapat perhatian netizen apabila pendakwah bebas itu hadir berpakaian warna sedondon dengan keluarga Neelofa.

Hubungan mereka menjadi tanda tanya netizen apabila adik-beradik Neelofa seperti memberi hint tentang hubungan mereka.

Nampaknya, lagi sekali PU Riz mendapat perhatian netizen apabila seorang wanita didakwa bekas teman wanitanya membuka cerita.

Mengaku ‘bitter’

Wanita yang dikenali sebagai Amal Syahmina itu memuat naik satu entri di laman Instagramnya, mengakui bahawa dia memang ‘bitter’ namun, dia mempunyai alasannya yang tersendiri untuk berhak bersedih juga.

“Ya, saya mengaku salah kerana ‘bitter’. Sebagai seorang Muslim, kita tak berhak untuk menghukumi niat seseorang apabila mereka sedang berusaha untuk berubah menjadi yang lebih baik. Saya patut memberikan reaksi yang lebih baik.

“Saya ada alasan yang tersendiri untuk berhak berasa sedih. Walaubagaimanapun, saya mengaku saya salah,” tulisnya.

5 tahun hubungan

Amal juga mendedahkan bahawa dia telah menjalani hubungan dengan bekas kekasihnya itu selama lima tahun. Malah, bekas kekasihnya itu juga telah berjanji kepada keluarganya untuk mengahwininya pada masa akan datang.

“Sesetengah daripada anda telah datang kepada saya, mengatakan bahawa saya bukanlah yang terbaik. Perkara ini harus dihentikan.

“Bukan anda yang menjalani hubungan dengan dia selama lima tahun, bukan anda yang telah semakin rapat dengan ahli keluarga saya dan yang paling penting, bukan anda yang telah berjanji kepada ahli keluarga saya untuk mengahwini saya,” luah Amal.

Hadir orang ketiga

Amal juga menceritakan bahawa kehadiran orang ketiga telah membawa keretakan kepada hubungan mereka.

“Hubungan kami diuji dengan kehadiran orang ketiga dan ia adalah kesalahannya kerana tidak mempertahankan saya.

“Menjadikan saya sebagai salah satu pilihan adalah tak patut dalam apa jua keadaan tapi awak berhak untuk memilih apa saja yang awak nak lakukan, jadi saya hormati keputusan awak dan cuba untuk menerimanya,” jelas Amal.

Tak menyesal

Tambah Amal, dia ingin memulakan kehidupan yang baru dan melupakan kisah silam. Namun, dia tidak pernah menyesal mengenali bekas kekasihnya itu.

“Saya akan memulakan kehidupan yang baharu untuk kebaikan diri sendiri.

“Saya tak menyesal mengenalinya. Dia adalah sebahagian daripada kehidupan saya yang telah menjadikan diri saya yang sekarang.

“Tetapi sudah tiba masa untuk melepaskannya. Saya berhak untuk mendapatkan yang terbaik, begitu juga dia. Kami bukanlah yang terbaik untuk satu sama lain. Redha,” ujar Amal.


Apa pun, harapnya Amal dapatlah mencari kebahagiannya. Doakan yang baik-baik untuk mereka.