Lagu-lagu bahasa rojak pada zaman sekarang memang bukan perkara yang pelik. Bukan sahaja lirik lagu yang rojak, buku cerita macam buku-buku Fixi, iklan di Malaysia dan portal berita  macam Jangan Koyak pun menggunakan bahasa rojak.

Ini disebabkan orang sekarang lebih selesa menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar kerana rasa lebih dekat dengan kehidupan seharian kita.

Jarang sekali orang Melayu kita bertutur dengan bahasa Melayu baku seprti orang dulu-dulu, namun, adakah ini sesuatu yang patut dibanggakan dan dibiasakan?

Melarang lagu rojak

Kalau dibandingkan dengan beberapa tahun lepas, masyarakat dan kerajaan kita lebih memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan kita di mana Malaysia pernah melarang untuk memutarkan lagu yang menggunakan bahasa rojak. 

Pada tahun 1992, 11 lagu daripada album pertama KRU telah dilarang penyiarannya, termasuk lagu mereka berjudul “20/20” yang bertemakan Wawasan 2020.

Lagu tersebut dilarang kerana mencampur adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris walaupun penggunaan bahasa Inggeris lagu tersebut sedikit sahaja iaitu “two zero two zero” dan lirik yang selebihnya menggunakan bahasa Melayu.

Lagu rojak satu kebiasaan

Sekarang, lirik lagu Malaysia semakin menjadi-jadi dengan lagu “Stop Lah Being So Cute” yang liriknya seperti ini.

She so cute she could fly

Tengok muka you I lalai

Quaranting make got me feeling like

Hey damn, bila you boleh  jumpa I?

Ataupun lagu “Budak Flat” oleh rapper kegemaran orang muda zaman sekarang, Aman Ra yang bertanding untuk Anugerah Juara Lagu tapi liriknya seperti

Keramat represent straight outta AU3’ dan ‘Flow lain macam keeep it low lain macam, If you know lain macam then you know.

Kalau zaman dulu lagu macam ni keluar, confirm dilarang macam KRU!

Orang muda kekok berbahasa Melayu

Tapi sejak tahun 2010 di mana lebih ramai karyawan menormalisasikan penggunaan bahasa rojak dan bahasa pasar, orang Malaysia terutamanya orang muda jadi kekok dengan bahasa Melayu baku. 

Boleh ke orang muda sekarang bertutur seperti dalam filem-filem Melayu zaman dulu-dulu dan menanyi lagu-lagu orang dulu yang lebih puitis?

Apa pandangan korang tentang isu ni? Ada harapan lagi ke untuk orang Malaysia untuk kembalikan bahasa baku seperti dulu?

Apa-apa pun diharap orang muda sekarang akan cuba memartabatkan penggunaan bahasa Melayu supaya anak-anak kita takkan lupa bahasa ibunda dan tidak terlalu terikut-ikut dengan bahasa Inggeris.