Sudah lumrah seorang artis menjadi tumpuan netizen sama ada benda baik atau buruk. Namun, baru – baru ini, isu yang terpalit kepada Neeta Manis ternyata tidak mampu diterima akal fikiran.

Isu ini tercetus apabila terdapat sebuah video yang dimuat naik seorang pengamal media di laman Tiktok miliknya menunjukkan Neeta ketika dia berada di rancangan “All Together Now Malaysia” diviralkan dengan kapsyen berbaur mengaibkan.

“Salah parking”

Dalam video yang tular tersebut, tertulis ayat “salah parking” yang didakwa merujuk kepada rakaman Neeta atau nama sebenarnya Neeta Manishaa Manogram sedang membetulkan pakaiannya.

Difahamkan, ketika itu Neeta bersama juri lain sedang berdiri memberikan sokongan kepada peserta. Namun, siapa sangka saat dia membetulkan baju, Tindakan tersebut lantas dijadikan bahan gurauan ‘double meaning’ malahan si individu yang memuat naik masih belum memadamkan video terbabit sehingga kini.

Laporan polis dibuat

Susulan video yang tular, Neeta bersama syarikat rakamannya, nar Records Sdn. Bhd tampil membuat laporan polis terhadap individu yang memuatnaik video tersebut.

Ketua Bahagian Pemasaran Nar Record, Becky Zulkepli memberitahu keputusan laporan polis dilakukan kerana video tersebut telah menjatuhkan maruah penyanyi dan juga pengacara itu sebagai seorang wanita.

“Video itu amat memalukan dan menyentuh sensitiviti serta maruah Neeta sebagai wanita.

“Dengan niat atau tujuan apa individu terbabit masih tidak dapat dipastikan kerana usaha untuk menghubunginya gagal dan tiada sebarang maklum balas diberikan sehingga kini,” katanya.

Emosi terganggu

Pelbagai kecaman dan cacian yang dilemparkan kepada Neeta yang kini berada dalam keadaan yang tertekan. Neeta mengambil keputusan untuk berehat dari sosial media.

Becky berkata emosi penyanyi lagu Hanya Mimpi itu kini terganggu berikutan apa yang berlaku turut melibatkan maruah keluarganya.

“Saya mohon maaf bagi pihak Neeta. Buat masa sekarang dia tidak dapat nak beri sebarang kenyataan. Sejujurnya, dia agak tertekan dengan isu yang berlaku.

“Emosi juga terganggu kerana apa yang berlaku turut melibatkan maruah dia serta keluarga. Dia seorang anak yang sangat  sayangkan ibu bapanya sebab dia pun anak tunggal.

“Isu ini sedikit sebanyak menggores hati ibu bapanya. Keputusan dia untuk berehat dari laman sosial adalah untuk menenangkan dirinya,” tambah Becky.

Dalam pada itu, Neeta yang juga vokalis kumpulan Iamneeta menerusi laman Instagram miliknya memuat naik gambar serta kapsyen menyatakan dia akan berhenti menggunakan media sosial buat sementara waktu.

“Saya akan berhenti menggunakan media sosial buat sementara waktu. Terima kasih kepada semua orang atas sokongan dan mesej baik yang diberikan. Ia sangat bermakna buat saya. See ya soon geng,” tulis Neeta di ruangan kapsyen.