Hamil anak keempat dalam situasi pandemik COVID-19 masih belum reda tidak sesekali menghalang penyanyi, Siti Sarah Raissuddin untuk terus berkarya.
Gandingan kali pertama
Sarah yang tampil dengan lagu duet bersama Shuib berkata, dia melihat waktu yang sesuai untuk menghasilkan lagu duet bersama suami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Single Semakin Benci Semakin Cinta dirakamkan, sejak setahun lalu. Ia ketika negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama.
“Idea menghasilkan single Semakin Benci Semakin Cinta hadir daripada Ajai apabila ingin melihat kami berduet. Malah, karya ini diciptakan khas buat saya dan Shuib.
“Ikutkan tiada tarikh untuk single Semakin Benci Semakin Cinta dilancarkan selepas rakaman siap. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat, Shuib pula tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat,” katanya.
‘Vokal Sarah tak moden’
Tapi ada pula komen yang kurang menyenangkan apabila netizen membandingkan suara Siti Sarah dengan penyanyi lagu Peluang Kedua iaitu Nabila Razali yang didakwa kedengaran lebih moden.
Namun, Sarah terbuka untuk memperbaiki kekurangannya dalam nyanyian, tetapi bagaimanapun mengakui dia tidak memahami maksud disebalik kritikan tersebut.
“Saya tak marah atau terasa hati dengan komen tersebut. Saya anggap mungkin berkenaaan hanya ingin bergurau. Lagu ini sangat peribadi untuk saya.
“Sebab lagu itu memang untuk dinyayikan bersama Shuib.. jadi, saya rasa tak sesuai la kalau saya atau Shuib menyanyikan lagu itu dengan orang lain pula.
“Lagipun, komen dia nak suara moden itu macam tak berapa faham. Sebagai artis lama, kita sentiasa nak perbaiki kekurangan tapi tak tahu mana nak cari suara moden,” tambah Siti Sarah.
Tak perlu banding – banding
Kenyataan balas tersebut diluahkan Sarah di laman instagramnya dan berpendapat, cara nyanyian atau vokalnya tidak harus dibanding-bandingkan dengan mana-mana penyanyi, sama ada Nabla Razali, Mariah Carey, Anita Mui mahupun Lata Mageskhar kerana setiap orang memiliki kelebihan masing-masing.
“Saya sendiri sebenarnya sangat hormat dengan Nabila. Dia seorang bakat baharu, suka berusaha, tidak mudah putus ada dan pandai cari peluang dalam bidang muzik,” tulis Sarah dalam Instagram.