Siapa boleh lupakan Abon, atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad. Persembahan beliau dengan arwah Mohd Yusof Abdul Hamid sebagai Kumpulan Osbon di Maharaja Lawak Mega pada tahun 2011 tidak boleh dilupakan.

Walaupun usia mereka ketika itu sudah lebih 50, ia tidak menjadi penghalang kepada kedua pelawak tersebut untuk berusaha dan akhirnya menjadi juara pertandingan tersebut.

Tapi semenjak itu, lama tak dengar khabar berita tentang Abon, apa yang beliau tengah lakukan sekarang? OK ke masa Covid-19 ni? Lama tak nampak penampilan hensem Abon di skrin televisyen.

Kecewa kerana dipinggir.

Rupa-rupanya di dalam satu temu ramah dengan hmetro, beliau mendedahkan bahawa beliau kecewa kerana dikatakan dipinggir dan dilupakan oleh industri media. 

Menurut pelakon telefilem Momok (2003) itu, beliau tidak lagi ditawar untuk berlakon dalam rancangan TV, malah, program hiburan yang dianjurkan pihak media pun beliau tidak diundang.

“Barangkali zaman kami (penggiat seni senior) sudah berakhir meskipun kami sebahagian daripada industri hiburan tanah air.

“Kami lahir dalam hiburan juga, dalam masyarakat seni.

“Dalam hal ini, tak tahulah sama ada terlupa, terabai atau dilupakan,” katanya.

Tidak dipinggir peminatnya.

Meskipun Abon mungkin dipinggir oleh industri tapi pelawak popular zaman 80-an ini masih disayangi peminatnya.

Kebelakangan ini, Abom telah berkongsi di Instagram miliknya bahawa beliau sudah selamat divaksinasi. Alhamdulillah. Harap-harap lepas Covid sudah berjaya dikalahkan, lagenda tersebut boleh kembali ke skrin televisyen.