Rupa bukanlah segala-galanya namun, memang tak dinafikan, dalam industri hiburan, rupa paras boleh dikatakan aspek penting juga.

Tapi bagi Usop atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 22, walaupun selalu dilabel penyanyi kampung dan tak ada rupa paras, dia tak pernah patah semangat.

Bukti bakat di Big Stage 2020

Menerusi BH Online, naib juara Mentor Milenia 2017 itu mengatakan bahawa dia ingin membuktikan bakatnya dengan menyertai Big Stage 2020.

Katanya, dia mahu menunjukkan bahawa dia tidaklah ‘kekampungan’ sangat seperti yang dianggap netizen.

“Jangan menilai saya dari segi rupa paras, sebaliknya lihatlah bakat. Ada sesetengah netizen beranggapan saya penyanyi kampung. Kenapa, penyanyi kampung tidak boleh berjaya ke?

“Saya mahu membuktikan saya bukanlah ‘kekampungan’ sangat. Dengan menyertai program Big Stage 2020, saya mahu orang menilai saya bukanlah penyanyi biasa-biasa,” jelasnya.

Rezeki kurang sebab rupa tak ada

Usop juga mengakui bahawa rezekinya kurang menyerlah disebabkan tiada rupa paras tapi dia mahu membuktikan bahawa rupa bukanlah penghalangnya melalui Big Stage 2020.

Penyanyi itu juga mengatakan bahawa dia tidak menyimpan harapan menjadi juara Big Stage 2020 dan berpegang pada prinsip untuk buat sebaik mungkin.

“Cuma saya berpegang prinsip buatlah sebaik mungkin. Apatah lagi, ramai yang rindu mahu lihat saya bertanding, jadi inilah masanya.

“Saya akui, undangan persembahan tidak banyak disebabkan pandemik COVID-19, jadi mengapa tidak menggunakan peluang ini untuk menyerlah,” tambahnya.

Betul tu, Usop! Apapun, goodluck untuk minggu seterusnya di Big Stage 2020!