Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi berkongsi pengalaman apabila dia yang ingin membeli penutup muka tidak dibenarkan masuk ke sebuah farmasi kerana tidak memakai penutup muka.

Imej dari: Twitter @illegalquandary

Staf menghalang dia masuk kerana tidak memakai penutup muka

Gadis itu meluahkan perasaannya setelah dia beratur buat beberapa lama untuk memasuki ke dalam farmasi tersebut namun dia dihalang oleh staf yang bekerja di situ kerana dia tidak memakai penutup muka.

Dia pada awalnya mahu ke sebuah kedai di sebelah farmasi tersebut untuk membeli bahan membuat kuih raya dan secara kebetulan penutup muka yang diletakkan di dalam kereta sudah kehabisan menyebabkan dia terpaksa membeli yang baru.

Di pintu farmasi tersebut telah ditulis notis jika tidak memakai penutup muka tidak dibenarkan masuk.

“Saya berkomunikasi dengan staf farmasi tu menerusi pintu kaca sahaja sambil menunjuk isyarat yang saya mahu membeli penutup muka. Tapi dia tak benarkan saya masuk, mungkin kerana dia tak faham apa yang saya katakan di sebalik pintu kaca tersebut,” katanya.

 Beli penutup muka di kedai serbaneka sebelah farmasi

Dia kemudian tanpa berfikir panjang terus ke kedai serbaneka di sebelah farmasi tersebut dan dia bernasib baik kerana kedai serbaneka tersebut menjual penutup muka. 

Isu dia tidak dibenarkan masuk ke farmasi tersebut tular di media sosial kerana ramai yang menganggap perkara itu lucu kerana kedua-dua mereka cuba untuk berkomunikasi hanya melalui pintu kaca sahaja dan ada yang beranggap perkara seperti itu merupakan polisi sesebuah syarikat bagi menghalang penyebaran wabak COVID-19 yang kini masih lagi berleluasa.