Umum sedia maklum, penyanyi Elyana sebelum ini bertarung dengan penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihadapinya sejak 10 tahun lalu. Elyana juga pernah memaklumkan sel kanser tersebut telah merebak ke bahagian organ tubuh badannya dan akan memberi kesan terhadap tulang.
Berat Susut
Penyanyi terkenal, Elyana Emrizal, meminta warganet agar mendoakan dirinya diberikan kelancaran dan kesihatan yang baik supaya penyakit yang dihidapinya cepat sembuh.
Menerusi perkongsian Elyana di IG Stories memuat naik beberapa video dan memaklumkan dia akan menjalani rawatan radioterapi selama 10 hari seperti disarankan oleh doktor pakar.
Di samping itu, penyanyi Kalis Rindu ini turut menjawab soalan peminatnya yang bertanyakan mengenai berat memandangkan Elyana tidak ada selera makan disebabkan penyakitnya itu. Elyana bagaimanapun memuat naik foto penimbang berat badan menunjukkan berat badannya hanya 35 kilogram ketika ini.
Rawatan radioterapi
Elyana turut menceritakan proses memasukkan darah dan susu ke dalam badannya sepanjang menjalani rawatan berkenaan.
“Satu beg darah dalam tiga jam, selepas itu akan disambung dengan susu kerana saya tidak cukup berat. Berat saya kini hanya 35 kilogram.
“Berkemungkinan besar saya akan buat radioterapi kerana doktor tahu saya tidak mahu membuat kemoterapi.
Anak – anak penguat semangat
Keinginan mahu terus bermain lagi dengan anak-anak mendorong Elyana nekad menjalani rawatan radioterapi.
“Saya tahu harus kuatkan diri untuk melakukan rawatan radioterapi ini demi anak-anak saya. Mereka berdua masih kecil dan saya perlu bersama mereka lagi,” katanya.
“Walau apapun cabarannya, saya akan cuba harungi kerana masih lagi nak bermain-main dengan anak-anak. Saya tak mahu terbaring saja kerana rasa lemah dan cepat penat.
“Saya tak mahu melakukan kimoterapi kerana rawatan itu akan membuatkan saya bertambah sakit dan jadi lemah. Jadi, saya ambil keputusan untuk melakukan rawatan radioterapi saja.
“Harapan saya mudah-mudahan selepas melakukan rawatan ini saya masih ada masa lagi untuk bermain dan bersama-sama dengan anak-anak,” katanya yang menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu.
“Semoga semua berjalan lancar. Saya harap anda semua dapat mendoakan kelancaran dan kesihatan saya. Semoga cepat sembuh,” katanya.