Baru – baru ini tular di laman Twitter apabila seorang pengguna Twitter memuatnaik sebuah ciapan bersama video Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Video tersebut memaparkan Prof. Muhaya memberi nasihat dan tips kepada wanita yang belum bertemu jodoh.
Walaubagaimanapun, video tersebut menerima kecaman yang hebat dari netizen sehinggakan ada beberapa selebriti dan influencer membidas kata – kata Prof. Muhaya.
“Biarlah bodoh – bodoh sikit”
Penceramah dan pakar mata terkenal, Prof. Muhaya memuatnaik video tersebut di laman Instargramnya, mengupas mengenai isu “Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh”. Namun video berdurasi 56 saat itu telah mencetuskan kontroversi gara – gara beberapa kenyataan yang dikeluarkannya.
“Orang perempuan walau macam mana pun mesti celebrate apa yang Allah beri tentang kepimpinan lelaki, sebab tu imam pun lelaki.
“Jangan sibuk nak liberate nak berdiri sama saing dengan lelaki. Nanti hormon testosterone meningkat dan bagi siapa belum kahwin lambat la jodoh,”
Difahamkan, Prof Muhaya membuat kenyataan tentang seorang wanita haruslah meraikan sifat kepimpinan seorang lelaki yang sememangnya ditakdirkan untuk menjadi ketua dan imam dalam sesebuah kekeluargaan.
Tambahnya lagi, sebagai wanita kita tidak perlu untuk mencapai tahap kejayaan yang sama dengan golongan lelaki kerana dipercayai bakal meningkatkan hormon testosterone dalam badan.
“Siapa tinggi testosterone, asyik nak drive, achieve, independent, memanglah susah dapat jodoh. Orang lelaki suka perempuan yang lemah-lembut , high estrogen, mengharapkan, perlu ditolong. Buat lah macam b*doh-b*doh sikit, baru dapat jodoh,” kata Prof. Muhaya dalam video tersebut.
Terima kecaman
Video tersebut telah dikongsikan di Twitter dan menerima lebih daripada 17,000 ribu reaksi. Rata – rata netizen mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof. Muhaya.
Respon artis dan selebriti
Ciapan tersebut juga turut menarik minat beberapa artis dan selebriti untuk membidas kenyataan yang dibuat Prof.Muhaya.
Antaranya, Dr. Amalina Che Bakri yang memberikan respon bahawa dia meminta maaf dan mengatakan ibunya tidak pernah membesarkan beliau untuk menjadi bodoh -bodoh sikit di hadapan lelaki supaya bertemu jodoh.
Selain itu, pelakon terkenal Fatimah Abu Bakar turut memberikan respon bahawa jodoh dan testosterone atau estrogen tidak mempunyai sebarang kaitan dan memberi galakan kepada para wanita untuk terus kehadapan dan menjadi bijak.
Rata – rata wanita menyifatkan bahawa pemikiran seperti ini seharusnya diubah kerana menjadi versi diri kita sendiri adalah jauh lebih baik.
Wanita itu mempunyai pelbagai upaya namun masih lagi disuruh akur kepada kehendak norma masyarakat yang menyifatkan wanita harus bersikap spesifik demi mendapatkan jodoh dan kemudian sekadar berupaya di rumah sahaja.
Video tersebut dilihat telah dipadam oleh Prof. Muhaya di laman Instagram miliknya namun masih belum menerima sebarang permohonan maaf atau keterangan lanjut daripadanya.
Mungkin apa yang ingin disampaikan disalah tafsir dek kerana penggunaan ayat dan perkataan yang kurang sesuai. Namun, semoga apa yang baik dijadikan teladan, dan apa yang buruk sama – sama kita jadikan pedoman.