Ekoran daripada video yang telah diviralkan di aplikasi ‘TikTok’, yang mempamerkan tiga wanita muslim membeli nugget pada waktu siang di sebuah restoran makanan segera yang agak terkenal melaui rakaman CCTV, isu ini telah dibahas lantang oleh para netizen.

Menurut video yang dirakam pekerja restoran tersebut, kelakuan wanita muslim itu dianggap tidak sopan di samping tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini kerana sanggup makan di kawasan terbuka tanpa menghiraukan orang sekeliling yang berpuasa.

Tidak menghormati

Perbuatan pekerja restoran tersebut dianggap tidak beretika kerana sengaja merakam video wanita-wanita itu tanpa kebenaran dengan niat untuk memalukan mereka secara terbuka, walaupun mereka dikatakan tidak menghormati mereka yang berpuasa.

Namun, ramai antara netizen berpendapat sedemikian sehingga menimbulkan tanda tanya, perlukah mereka yang tidak berpuasa ini menyorok sambil makan walaupun mereka di bawah kondisi yang membenarkan mereka untuk mengganti puasa mereka di lain hari?

Justifikasi

Apa yang menjadi justifikasi bagi golongan yang diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa ini makan di khalayak ramai ialah, mereka tidak mempunyai masa untuk mencari tempat yang tertutup dan ada juga yang terlalu tidak tahan sehingga perlu menyegerakan waktu makan.

Sesetengah daripada mereka juga berpendapat bahawa kemarahan ini bukan ditimbulkan kerana mereka tidak dibenarkan makan sama sekali, tetapi kerana pemilihan tempat makan yang kurang sesuai, lebih-lebih lagi di bulan penuh berkat ini.

Ada juga yang menceritakan pengalaman terpaksa makan di dalam tandas kerana terpaksa akur dengan permintaan orang ramai supaya mempunyai rasa malu dan hormat kepada orang yang berpuasa.

Benar ianya sudah menjadi tuntutan setiap Muslim untuk sentiasa menghormati bulan yang mulia ini, namun kita juga tidak patut lupa bahawa dunia ini tidak tertakluk kepada diri kita sendiri sahaja, di mana kita tidak patut terlalu cepat menghukum.

Sejauh mana pun isu ini diperdebatkan, kita haruslah beringat untuk sentiasa bertoleransi antara satu sama lain dan jauhkanlah diri daripada bersangka buruk dan berfikiran negatif, tidak kira lah sewaktu bulan puasa atau pada masa yang akan datang.