Setiap kali bulan Ramadhan, kita pasti dimeriahkan dengan karya-karya ‘content creator’ yang kreatif dalam mengongsikan resepi masakan, tidak kira yang mudah ataupun yang susah.
Kita sudah tentu familiar dengan nama anak seni baharu, Khairul Aming, dalam industri pembuatan konten, lebih-lebih lagi konten masakan yang mana akan tiba setiap kali Ramadhan dengan programnya ‘30 hari 30 resepi’.
Lain pula suasananya tahun ini apabila Ramadan kali ini disambut dengan lebih ramai ‘content creator’ yang baru menceburi bidang perkongsian resepi di alam maya ini, ada juga yang sudah berpengalaman.
Cubaan ‘meniru’
Baru-baru ini, Aiman Salim atau lebih dikenali sebagai ‘Bang Man’ telah menerima reaksi negatif daripada warga netizen terhadap konten masakannya, yang dikatakan cuba ‘meniru’ karya Khairul Aming.
Bukan itu sahaja , chef cilik internet Danish Harraz juga diperkatakan membuat konten masakan yang mempunyai unsur-unsur peniruan walaupun sudah lama menempatkan diri di industri ini, dan masih dikaitkan dengan Chef alam maya yang sedang meraih populariti itu.
Kekecewaan Khairul Aming
Keadaan ini telah menimbulkan ketidakselesaan terhadap Khairul Aming, menyebabkan beliau meluahkan perasaan hampa terhadap warga netizen menerusi sebuah bebenang di laman Twitternya.
“Aku tak faham level toxic tahun ni”, katanya dalam ciapan tersebut.
Menurut Khairul Aming, kita perlu sentiasa meraikan dan ‘enjoy’ setiap konten masakan yang dikongsikan tidak kira lah dari siapa pun. Beliau juga merayu supaya warga net berhenti menimbulkan pergaduhan antara ‘content creator’ dan bersikap melaga-lagakan.
Kedua-dua content creator yang dikatakan meniru konsep video masakan Khairul Aming itu juga sudah tampil ke hadapan, menunjukkan perasaan kecewa mereka.
Namun begitu, mereka tidak langsung menyalahkan Khairul Aming, bahkan sentiasa terbuka dengan komen-komen yang diberikan.
Khairul Aming memohon agar budaya ini segera diberhentikan kerana baginya, budaya seperti ini hanya akan merosakkan ‘vibe’ berpuasa pada tahun ini.