Baru-baru ini tular seorang warga emas lelaki mendakwa dikasari oleh pegawai Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), selepas dia menghalang pegawai ketika operasi penangkapan anjing liar.
Isu ini tular di laman sosial media Twitter dan menjadi tajuk perbualan dan perdebatan netizen.
Rata-rata daripada netizen menunjukkan pelbagai reaksi terhadap isu tersebut.
Isu warga emas yang dikasari itu bukanlah yang hangat diperkatakan tetapi cara pegawai MBPJ mengendali anjing liar yang dikatakan tidak berperikemanusiaan yang menjadi perdebatan hangat.
Lain orang, lain pendapat
Isu anjing liar ini telah mengundang pelbagai naratif dan pendapat daripada orang ramai.
Ada yang menganggap, anjing liar memang sepatutnya ditangkap dengan cara apa sekalipun kerana mengundang banyak masalah seperti penyakit dan mencederakan orang awam.
Ada juga sebahagian yang menentang atas alasan tidak berperikemanusiaan dan menyakiti anjing liar tersebut.
Siasatan akan dijalankan
Pihak MBPJ menerima laporan berkenaan video tular penangkapan anjing-anjing liar tersebut daripada orang ramai.
MBPJ akan menyiasat dengan lebih terperinci kes yang melibatkan anggota MBPJ dan seorang warga emas.
“MBPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi serta melindungi mana-mana kakitangan seandainya benar dan terbukti melakukan kesalahan,” dalam satu kenyataan media.