Azwan Ali atau lebih mesra dipanggil Diva AA merupakan orang yang sangat senior dalam industri hiburan tanah air.

Namun, baru-baru ini dia dipanggil pihak berkuasa atas kelantangannya dalam menyuarakan pendapat.

Dipanggil Bukit Aman

Bukit Aman mengesahkan bahawa pihak mereka telah memanggil Azwan untuk membantu siasatan mereka mengenai penularan sebuah klip video baru-baru ini.

Menurut pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, siasatan tersebut dijalankan kerana pengacara popular itu dipercayai memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan terhadap klip video Azwan Ali kerana didapati telah memperlekehkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong. Rakaman video berdurasi 41 saat tersebut telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Zai Mikail pada 12 Januari 2021,” katanya.

Disiasat Bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia

Siasatan tersebut akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pada 21 Januari 2021, Azwan Ali telah dipanggil ke Pejabat USJT, Bukit Aman bagi membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video tersebut,” katanya lagi.

PDRM juga meminta orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut hingga boleh mendatangkan perkara yang tidak baik pada orang awam selain boleh menggugat keharmonian negara.

Hmm macam-macam lah pulak yang terjadi. Semoga segala urusan dipermudahkan untuk siasatan ini!