Penampilan baharu pengacara TV dan usahawan popular Neelofa yang berniqab itu telah mengejutkan ramai orang semalam di media sosial.

Mula berniqab

Selebriti yang berusia 31 tahun itu telah memuat naik gambar imej baharunya di akaun Instagramnya semalam dengan kapsyen berikut.

“Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”

Beberapa jam lepas, Neelofa kembali memuat naik gambar dia berniqab di Instagram serta penjelasan tentang penghijrahan di Twitter dan Instagram.

“Doakan saya insan yang penuh dengan kekhilafan ini agar sentiasa istiqamah dalam memperbaiki diri dan ampuh melalui datangnya hari.

“Kirimkan juga buat perjalanan baharu saya nanti agar sentiasa dalam rahmat dan reda Ilahi. Insya Allah semoga kita sentiasa dilindungi Allah dan selalu berada dalam rahmat dan ehsanNya,” tulis Neelofa di media sosial.

Bidadariku’

Ibu Neelofa, Datin Noor Kartini juga telah berkongsi video dia memeluk dan mencium anaknya yang berpenampilan baharu di akaun Instagramnya.

“Masya-Allah Ya Allah aku tiada ungkapan untuk ku ucapkan syukur dengan karuniamu mengamanatkanku bidadari yang terindah untuk ku, yang banyak mengajarku, yang menjadi inspirasiku.

“Ya Allah syukur atas hidayah untuknya yang kau kurnia kan dan ku mohon kurniakan hidayah yang terbaik untukku, seluruh keluargaku dan seluruh umat Islam, amin. Love you bidadariku @neelofa,” tulisnya di kapsyen video tersebut.

Neelofa juga turut meluahkan rasa sebak apabila melihat reaksi ibunya melihatnya berniqab di IG Story.

“The moment she saw me in niqab @noorkartini. Insan teragung yang sentiasa berada disisiku di setiap langkah. I love you so much,” tulis Neelofa.

Peminat memuji

Pengacara ‘Next to Neelofa’ dan pengasas empayar perniagaan Naelofar itu juga mendapat banyak pujian bukan sahaja daripada peminat-peminat tapi juga rakan artis.

Neelofa turut meluahkan rasa berterima kasih buat semua yang mendoakannya dan memberi sokongan kepada penghijrahannya.

Alhamdulillah, semoga Neelofa kekal beristiqomah dalam menjalani kehidupannya dengan imej yang baharu.