Pelakon Kamal Adli memaklumkan jika bukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia dan kekasih hatinya, Uqasha Senrose akan bernikah pada minggu depan.

Menurut Kamal lagi, perancangan untuk mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di sebuah pusat peranginan tanah tinggi akan tetap diteruskan apabila kes Covid-19 reda.

Tak mahu isu berbangkit

Ahmad Kamal Ahmad Adli atau lebih dikenali sebagai Kamal Adli mengatakan bahawa dia bersama Uqasha telah merancang untuk mengadakan majlis akad nikah serta resepsi di sebuah pusat peranginan tetapi perlu ditangguh kerana tidak mahu ada isu mengenai majlis perkahwinan mereka.

“Buat waktu sekarang, kita tangguh dahulu (perkahwinan) kerana tak mahu nanti ada isu-isu berbangkit. Kita hormat lockdown, bila dah dibenarkan merentas negeri (yang saya pun tak tahu bila), kita akan kahwin seperti yang dirancang.

“Sebab apa? Sebab, kita dah bayar semuanya. Memang tak boleh pull out (tarik balik) duit. Seperkara lagi, saya nak majlis kahwin kami menjadi satu peristiwa yang saya dan isteri akan kenang sampai ke tua.

“Tak naklah nikah online ke apa atau yang boleh datang 40-30 orang. Apa yang nak dikenang nanti. Pada waktu sama, kita hormat lockdown dan tunggu kes Covid-19 negara reda,” kata pelakon Kamal Adli.

Laksana yang wajib

Bagaimanapun, Kamal berkata sekiranya lockdown masih berlanjutan, dia tidak menolak untuk melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu dengan bernikah.

“Kita hold (tangguh) dulu tengok macam mana situasi Covid-19 negara. Kita hormat kesusahan orang lain sebab macam saya cakap tadi, tak nak orang cakap artis kayanganlah atau benda-benda macam itu.

“Kalau lockdown ini berlanjutan panjang sangat, saya mungkin akan memilih buat apa yang wajib dahulu iaitu bernikah. Sekarang ini, kita tangguh dulu dan tengok macam mana keadaan,” tambahnya.