Ketibaan vaksin Covid-19 ke Malaysia merupakan satu sinar buat rakyat setelah setahun memerangi virus pandemik ini.

Tapi dalam ramai yang tidak sabar menerima suntikan vaksin Covid-19, ada segelintir yang tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengambil vaksinasi tersebut, seperti bekas anggota kumpulan nasyid In Team, Suhaimi Saad ini.

Tak kecam

Walaupun pelbagai nasihat dan saranan telah diberikan oleh golongan ilmuan seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri namun, sepertinya Suhaimi Saad tetap tegar dengan pendiriannya.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Suhaimi mengatakan dia tidak mengecam mana-mana ulama yang pro vaksin dan tampil dengan pendapatnya tersendiri.

“Aku tak kecam ulama atau mufti, tak juga berniat menghasut sesiapa. Apa pun hujah orang, itu tidak akan semudah mudahnya mengubah pendirian aku.

“Ini sebab aku pun ambil dalil dari Al Quran. Dalam Al Quran, Allah kata, kalau kau ikut cara hidup kebanyakan manusia atas muka bumi ini, nescaya kau akan disesatkan dari jalan Allah.

“Aku juga ada pegangan dari hadis sohih. Tinggalkan apa yang meragukanmu dan ambillah apa yang tidak meragukanmu,” tulisnya.

Tak sembuh pun

Jelas Suhaimi lagi, tiada siapa yang boleh menghasut atau memaksanya untuk menerima vaksin. Malah, dia juga berpendapat jika semua orang di dunia sihat dengan vaksin itu pun, tak akan menambah atau mengurangi apa-apa pun di sisi Allah.

“Jaga agama lebih utama bagi aku berbanding vaksin. Dah berapa banyak vaksin yang mereka buat, tak menyembuhkan pun. Malah makin banyak pula penyakit baru,” tambahnya.

Rela mati

Menurut Suhaimi, dia lebih rela mati dari mendakwa agamanya dihina oleh musuh Islam.

“Aku rela mati berbanding membiarkan agama Allah dihina dan diperbodoh bodohkan oleh musuh Islam.

“Dan aku minta pada Allah agar Allah buka seluruh hati manusia khususnya para mufti dan ulama untuk melihat kebenaran dengan mata pandang Allah,” jelasnya.

Hantarannya itu turut disertai dengan tangkap layar hujah Dr Zulkifli tentang vaksin. Meninjau ke ruangan komen, pelbagai reaksi dan pendapat diberi pada hantaran Suhaimi itu.