Sebelum ini, pelakon Elisya Sandha pernah menafikan bahawa dia menjalinkan hubungan dengan anak sulung penerbit dan pelakon terkenal Sheila Rusly, Uzair Haqimy dan hanya mengakui bahawa mereka sekadar kawan baik.

Namun begitu, pada Ahad 31 Januari, didedahkan pada umum bahawa adik kepada Fasha Sandha itu telah pun sah bertunang kepada Uzair.

“Alhamdulillah”

Menerusi laman Instagram Sheila Rusly, penerbit itu telah memuat naik satu foto yang mempamerkan dirinya memeluk seorang wanita berpakaian pengantin berwarna putih tanpa menampakkan wajahnya.

“Alhamdulillah,” tulis Sheila, ringkas sebagai kapsyen.

Meskipun wajahnya tidak didedahkan namun, rata-rata pengikutnya dapat meneka bahawa wanita tersebut adalah Elisya Sandha.

Tahun depan

Menerusi laporan Gempak, Sheila dikatakan mempunyai perasaan yang bercampur baur dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata apabila anak sulungnya akan melangkah ke fasa baru dalam hidupnya.

“Alhamdulillah. Tidak terluah dengan kata-kata perasaan saya ketika ini. Semuanya bercampur baur. Macam-macam perasaan ada.

“Tetapi sebagai ibu, sudah tentu saya gembira dengan keputusan ini. Mereka sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Apa tah lagi mereka sudah lama berkawan sejak Elisya tamat belajar lagi. Cuma hubungan tidaklah begitu serius seperti hari ini,” katanya.

Sheila turut berkongsikan bahawa Uzair dan Elisya dijangka akan disatukan pada awal tahun depan.

“Majlis merisik, hantar tanda dan bertunang diadakan petang tadi (Ahad). Mengikut perjanjian, mereka akan disatukan awal tahun depan,” jelasnya.

“One step closer”

Elisya juga telah berkongsikan satu foto di laman Instagramnya, yang menunjukkan dirinya berpakaian kurung putih dengan mempamerkan cincin pertunangan di jarinya.

“Syukur Alhamdulillah. One step closer,” tulisnya sebagai kapsyen.

Tahniah kepada pasangan Elisya dan Uzair! Semoga segala urusan menuju ke jinjang pelamin dipermudahkan!