Tiada apa yang lebih dimahukan penyanyi dan pelakon, Elyana sempena ulang tahun kelahiran ke-34 selain kesihatan yang baik untuknya dia dan keluarga.

Sambut Sederhana

Menerusi perkongsian dalam Instagram, Elyana berkongsi sekeping fotonya sedang memakai baju tidur bersama kek ulang tahun pemberian daripada isteri kepada pelakon Shukri Yahaya iaitu Tya Adnan.    

“5 Julai 2021, hari lahir saya yang ke-34 tahun. Saya mohon doa supaya saya dan keluarga sihat, jadi orang yang baik, panjang umur, diperluas pintu rezeki dan selamat dunia akhirat. Amin,” tulisnya.

Reaksi netizen

Menjengah pada ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti mengambil kesempatan mengucapkan ucapan ulang tahun dan titipan doa buat pelantun lagu Kalis Rindu itu.

Mengulas keadaan dirinya sejak dibenarkan pulang ke rumah pada 28 Jun lalu, Elyana berkata dia kini berhadapan kesan rawatan radioterapi dilakukannya sebanyak 10 sesi pusingan, baru-baru ini.

Katanya, dia sekarang mengalami sakit-sakit  badan, ulser dalam mulut dan sedikit sukar hendak menelan makanan kerana rawatan radioterapi itubdilakukannya di bahagian dada.

“Bagaimanpun, syukur alhamdulillah selera makan saya  sudah pulih dan kini nikmatnya sangat dirasai dan dihargai. Kalau sebelum ini, saya setahun tak boleh makan sebab tak ada selera langsung.

“Cuma, walaupun selera makan saya dah ada tapi, berat badan pula turun sedikit iaitu 39 kilogram (kg) daripada 42 kg ketika berada di hospital menjalani rawatan, baru-baru ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Elyana sudah menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, dia hanya membuat pendedahan mengenai penyakitnya itu pada 2017 lalu.