Kosmetik ‘Kekasih The Melvins’ yang diusahakan oleh adik-beradik Melvin iaitu Syatilla, Syifa, Syida dan Syafiqa, membuatkan mereka empat-beradik mendapat gelaran jutawan muda dalam masa yang singkat.

Jadi, bila Syatilla Melvin dah makin berjaya dan mewah, mulalah netizen berspekulasi tentang suaminya, Shaheizy Sam, yang sepertinya menumpang kemewahan isterinya apabila netizen perasan aktor tersebut kurang mendapat tawaran berlakon.

Ada dua perniagaan

Menerusi laporan mStar, Syatilla mendedahkan bahawa suaminya kini sedang sibuk menguruskan dua perniagaan dalam satu masa dan kedua-duanya berada dalam keadaan yang sangat baik.

“Mereka (netizen) mungkin tidak tahu apa yang Sam buat sekarang ini. Dia kini sibuk dengan dua perniagaan yang berjalan dengan baik. Tapi mereka ini sengaja la nak buat spekulasi.

“Sebenarnya perniagaan Sam lagi maju daripada perniagaan Kekasih tapi orang tak tahu dan Sam pun tak akan kongsi benda itu dengan orang.

“Mereka cakap apa yang mereka nampak saja, terpulang la…tapi apa yang ada dalam akaun kita, mereka tak perlu tahu,” jelasnya.

Bergerak seiring

Syatilla juga memberitahu bahawa dalam kehidupan rumah tangga, tiada istilah menumpang kerana dia dan suaminya sering membantu satu sama lain dalam setiap perkara.

“Masa awal-awal orang selalu cakap saya ini seperti menumpang Sam tapi sebenarnya kami bergerak seiring. Saya dan Sam pun ada perniagaan sendiri. Kami berdua buat semua sama-sama. Sentiasa berbincang sehingga mendapat kata sepakat dan tiada istilah menumpang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia juga percaya bahawa rumah tangga akan semakin bahagia dan dimurahkan rezeki jika pasangan suami isteri saling tolong-menolong dan tidak berkira dalam setiap perkara termasuk kewangan.

Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy,3, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

Semoga Sam dan Syatilla lebih berjaya pada masa akan datang!