Aeril Zafrel dan Wawa Zainal merupakan pasangan yang cukup romantik dan kini bergelar jutawan apabila produk kosmetik keluaran jenama mereka mendapat sambutan yang begitu menggalakkan di kalangan peminat.
Namun baru-baru ini mereka dilaporkan telah menyerbu sebuah premis di Perlis, apa kes pulak kali ni?
Serbu Premis
Menurut Astro Awani, pasangan terbabit menyertai serbuan di sebuah premis di Taman Putra Utama, Kangar yang dipercayai telah mengeluarkan produk kosmetik tiruan jenama milik mereka.
Pasangan tersebut bersama sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, memasuki premis berkenaan pada jam 12.15 tengah hari.
Wawa turut kecewa dengan pihak terbabit kerana mengedarkan produk kosmetik tiruan jenamanya iaitu Wawa Cosmetics by Wawa Zainal.
Dia turut mendakwa syarikat terbabit telah menggunakan cap dagangan yang tidak berdaftar dan seakan-akan sama dengan cap dagangan berdaftar miliknya.
“Apa yang dikesalkan adalah ia seolah-olah mengelirukan pengguna.
“Cap dagangan ini bukan senang untuk didaftarkan malah ia memakan masa hampir dua tahun untuk diluluskan oleh pihak KPDNHEP selepas melalui prosedur tertentu.
“Justeru sekiranya pihak terbabit berterusan menggunakan cap dagangan ini, ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab,” tulis Astro Awani.
Merampas Produk
Pengarah KPDNHEP Perlis, Norazah Jaapar, berkata dalam serbuan tersebut, pihak mereka telah merampas lebih 5,542-unit peralatan kosmetik yang dianggarkan bernilai RM210,596.
Beliau turut berkata, pihak mereka telah menahan 16 individu berusia antara 20 hingga 31 tahun termasuk seorang lelaki yang juga pemilik perniagaan tersebut untuk membantu siasatan.
Aeril & Wawa Buat Aduan
Menurut laporan Astro Awani, pihak Norazah membuat serbuan tersebut selepas pihaknya mendapat aduan daripada Aeril dan Wawa mengenai pengeluaran produk kosmetik yang menggunakan logo serta jenama mereka yang boleh mengelirukan pengguna dan peminat mereka.
“Hasil siasatan mendapati premis terbabit telah beroperasi lebih dari tiga tahun dan turut menjalankan perniagaan menggunakan sistem ejen selain dijual di dalam talian.
“KPDNHEP juga telah melihat iklan mengelirukan yang telah dikeluarkan oleh syarikat milik ahli perniagaan terbabit.
“Tindakan itu boleh memanipulasi persepsi pengguna kerana telah menggunakan logo pemilik asal,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Wawa dan Aeril.
Tambahnya, syarikat terbabit juga dipercayai memeliki sebuah gudang di Kedah dan turut menjadikan premis di Taman Putra Utama sebagai pusat pengedaran mereka
Beliau turut menambah, kes tersebut disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan atas tindakan mereka.
Haih kalau ye pun nak jual produk kosmetik, janganlah tiru produk orang dan jual yang tiruan punya, kan tak pasal-pasal kena tangkap.
Semoga keadilan milik Wawa dan Aeril!