Baru-baru ni, kecoh di media sosial apabila satu kontoversi melibatkan usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri dengan seorang wanita iaitu Airawani Nazira atau Wani Comel berkenaan salah satu kontrak yang dimaterai oleh mereka.
Aliff tampil semalam dalam satu sidang media bagi mempertahankan dirinya serta ingin menjelaskan segala dakwaan yang dilontarkan oleh pihak Wani.
Tidak Janjikan Apa-Apa
Aliff menafikan yang dia menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada Wani seperti yang didakwa olehnya sebelum ini.
Menurut Aliff,segala tuntutan yang didakwa oleh oleh Wani Comel itu pada dasarnya tidak pernah berada dalam kontrak yang ditandatangani pihaknya dengan Wani sendiri.
Tambah Aliff lagi, Wani bukanlah isteri mahupun ibu bapanya untuk dijaga dengan kemewahan.
“Saya sama sekali tidak pernah menjanjikan bulan dan bintang, nak bagi rumah, kereta mahupun kekayaan.
“Dia bukan isteri saya bukan mak bapak saya untuk saya kayakan.
“Anda semua boleh fikir logik, segala permintaan dia di luar jangkauan,” katanya dalam sidang media tersebut.
Bukan Pusat Kebajikan Masyarakat
Aliff juga menafikan perjanjiannya untuk menjaga kebajikan ahli keluarga Wani.
“Saya hanya membantu adik Wani bukan keluarga. Keluarga dia ada kaki tangan dan boleh berjalan.
“Saya sudah berbelanja ratusan ringgit termasuk mendapatkan khidmat jurulatih, tempat tinggal, makanan tambahan atau supplement.
“Siap ada tukang masak untuk menjaga pemakanannya. Bukan sehari dua ya tetapi berbulan.
“Itu pun dia curi-curi beli makan kat luar tanpa pengetahuan.
“Dia bukannya orang gemuk biasa-biasa tetapi bersaiz super.
“Niat saya hanya nak bantu dia berjalan, supaya Wani boleh bantu semula ibu dia,” katanya lagi.
Terkesan Akibat Covid-19
Aliff turut menjelaskan, ketika dunia berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, dia faham ramai yang terkesan dari segi kewangan.
“Tapi janganlah ambil jalan pintas, carilah kerja, senang-senang meminta.
“Carilah kerja kaki dah ada tangan dah ada.
“Perlu diingatkan saya bukan rumah atau pusat kebajikan,” katanya.
Perjanjian RM 3000?
Ditanya dalam sidang media tersebut mengenai perjanjian bayaran RM 3,000 secara bulanan, Aliff menjelaskan kesemua itu sudah ditulis pada kontrak tersebut.
“Dalam perjanjian tersebut jelas menyatakan pemberian akan diberi atas budi bicara yang tertera tulis di dalam kontrak,” katanya.
Jatuhkan Perniagaan?
Aliff juga tidak menolak ada pihak yang cuba menjatuhkan dirinya dan perniagaanya.
Beliau juga tidak teragak untuk membawanya ke pihak berkuasa.
“Saya akan membawa perkara ini ke saluran undang-undang, cuma apa tindakannya buat masa ini belum boleh saya kongsi.
“Sementara itu berkenaan saman yang akan dikemukakan mana-mana pihak, saya mengalu-alu saman anda,” jelasnya.
Terdahulu pihak Wani telah mengadakan sidang media mengatakan ditipu selepas tidak mendapat sebarang faedah dan bayaran seperti yang dijanjikan.
Dia juga mendakwa yang dia tidak mengetahui isi kandungan yang ada di dalam kontrak yang dijanjikan serta dia juga mendakwa yang dia tidak pernah mendapat rawatan susulan selepas pembedahan usus yang dilakukan.
Hiashh boleh tahan berat kes ni yaa. Apa-apa pun semoga kebenaran berpihak pada yang benar.