Perkataan e-belia menjadi “trending” gara – gara bantuan oleh kerajaan kepada belia berusia 18 tahun sehingga 21 tahun serta pelajar sepenuh masa Institut Pendidikan Tinggi (IPT) mula dikreditkan ke akaun e-dompet mereka semalam.

Sangat Teruja

Rata – rata belia menunjukkan reaksi teruja dan gembira apabila bantuan sebanyak RM150 yang diberikan oleh kerajaan khususnya kepada belia di negara ini boleh dituntut bermula 1 Jun hingga 22 Julai 2021. Ia boleh dituntut di mana-mana aplikasi e-tunai seperti ShopeePay, Touch ‘n Go eWallet, BigPay dan juga Boost.

Pengguna laman Twitter tidak sabar mahu menuntut e-tunai tersebut untuk kegunaan pembelajaran mahupun perbelanjaan secara online dan mereka dari awal pagi sudah menghantar ciapan untuk menuntut e-tunai tersebut.

“Bangun awal untuk menuntut e-Belia. Terima kasih kerajaan,” kata @alias.

“Alhamdulillah, pagi yang amat baik untuk saya mulakan pada hari ini. Saya dapat tebus e-Belia saya dan dapat buat terapi saya pada hari ini. Saya amat gembira dan saya juga sudah selesai membuat permohonan universiti,” ciap @ey3shuh.

Mengapa bukan cash?

Menurut seorang pengguna laman Twitter, @nas_addina, berkata, proses e-Belia ini amat mengecewakan. Mereka boleh sahaja masukkan duit tersebut terus ke akaun bank kami.

“Mengapa mereka tidak boleh beri RM150 kepada kami yang boleh masuk dalam akaun bank? Bukan semua orang mahu berbelanja, ada yang mahu menyimpan juga,” ciapnya yang agak kecewa.

Tidak dapat menebus

Namun dalam keterujaan itu, terdapat segelintir mereka mengeluh dan kecewa apabila berlaku isu teknikal di mana tidak boleh menuntut bantuan berkenaan.

Di Twitter,beberapa pemohon berkongsi bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk menebus kredit eBelia dari Touch ‘n Go eWallet. Aplikasi ini memaparkan mesej “Ada yang tidak kena” kepada pemohon yang diminta untuk mencuba lagi nanti.

Pemohon lain berkongsi tangkapan skrin pada aplikasi yang menunjukkan bahawa proses penebusan gagal kerana lalu lintas yang tinggi.

Terdapat juga segelintir pemohon menggunakan meme untuk menyatakan kekecewaan mereka. Seorang pemohon mendakwa telah menghadapi masalah penebusan selama berjam-jam.

Terdahulu, Kementerian Kewangan berkata, e-tunai tersebut akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk pulangan tunai (cash back), baucar, mata terkumpul atau coins dari aplikasi e-tunai tersebut.