Gara-gara memakai Proton Saga, seorang pemuda digelar tidak berjaya oleh saudaranya sendiri. 

Satu bebenang di Twitter yang dikongsi Anas Abdul Rahim menceritakan tentang saudara-maranya yang mengumpatnya kerana memakai Proton Saga lama dan menganggap dia sebagai orang yang tidak berjaya.

Apa yang lebih menyayat hati apabila saudaranya berkata sebegitu ketika dia sedang dalam proses menguruskan jenazah bapanya.

Imej dari: Twitter @twtanas

Tidak meneruskan kerjaya sebagai peguam

Anas yang merupakan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) menceritakan yang saudaranya memandang rendah kepadanya yang hanya mampu memakai Proton Saga lama sedangkan peguam-peguam di luar sana ramai yang memakai kereta mewah.

Siapa sahaja yang tidak marah apabila diumpat sebegitu, namum Anas tidak sedikit pun mengikut amarahnya mengenangkan waktu itu merupakan majlis pengebumian bapanya.

Nilai sentimental pemberian bapa

Bagi Anas, kereta hasil pemberian ayahnya mempunyai nilai sentimentalnya sendiri dan telah banyak berbakti kepadanya.

Perkongsian Anas ini mendapat reaksi netizen yang turut memberikan pendapat bahawa kereta seseorang itu tidak melambangkan kejayaannya.