Sejak isu mengenai nafkah anak menjadi tumpuan, ada segelintir netizen melabelkan pelakon Rita Rudaini ‘gila talak’ dan ‘terhegeh-hegeh’ mahu kembali ke pangkuan bekas suami selepas lapan tahun berpisah.
Malah, ada juga segelintir netizen menggelar Rita ‘gila meroyan’ kerana mengungkit kisah lama walaupun Aidil kini sudah mempunyai keluarga baharu.
Pintu hati tertutup
Berikutan dengan segala tuduhan yang dilontarkan oleh netizen itu, Rita menerusi Bh Online menjelaskan bahawa masalahnya bersama Aidil tidak akan selesai selagi dirinya tidak berkahwin.
Tambahnya, dia langsung tidak mempunyai hati kepada Aidil, malah pintu hatinya juga tertutup untuk menerima cinta lelaki lain.
“Saya tak terhegeh-hegeh mahukan kembali Aidil. Ketika sebelah sana terhegeh-hegeh dengan suami saya, tidak pernah pula saya menyerangnya.
“Usahlah takut, umur saya pun sudah 45 tahun. Perasaan nak kembali bercinta sudah lama mati. Nasihat saya, jagalah penampilan supaya suami tidak pandang wanita lain.
“Jauh di sudut hati, saya terfikir apa lagi mereka tak puas hati. Macam-macam tuduh saya, kononnya saya bawa lari Aidil dan sebagainya. Sampai bila mahu berdendam, sedangkan saya tidak kacau hidup orang. Saya seorang diri membesarkan anak tanpa suami, jadi janganlah rasa ‘insecure’ dengan saya,” ujarnya.
Dipersetujui bersama
Mengulas mengenai persoalan netizen berkenaan tindakannya yang hanya membenarkan Aidil bertemu dengan anak, dengan syarat dirinya ada bersama, Rita berkata, Aidil bersetuju dengan syarat yang sudah dipersetujui di mahkamah syariah.
“Anak masih kecil, takkan hendak keluar tanpa saya? Aidil pun sudah setuju depan hakim, syarat ini bukan saya yang tuntut. Lagipun, anak masih kecil, jadi mereka tidak dibenarkan bermalam.
“Saya beritahu apabila anak sudah selesa bolehlah Aidil bawa mereka balik. Saya perlu merapatkan anak dengan Aidil terlebih dahulu. Apabila sudah okay, mereka sendiri akan ikut Aidil tanpa paksaan,” jelasnya.
Tak berjaya
Walaubagaimanapun, Rita mendedahkan bahawa hubungan antara anak dan ayah mereka tidak berjaya dipupuk berikutan bekas suaminya itu jarang bertanya khabar anak selepas kahwin baru.
“Hanya sesekali Aidil menghantar mesej, tetapi kerap kali menggunakan nombor berbeza. Ada masanya, saya tidak menjawab kerana bimbang orang tidak dikenali.
“Sekarang anak sudah besar, jadi saya tak boleh paksa mereka pergi ke rumah Aidil. Setahun sekali Aidil hanya bertanya khabar, jadi tentulah anak kekok dengannya,” ujarnya.
Hmm, harapnya selesailah masalah mereka berdua ni.