Berhubung kontroversi muzik video bertemakan Hari Raya Aidilfitri yang mencolok mata baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memanggil jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk siasatan lanjut.

Video ‘Kelepok Raya’ yang dilakonkan Alif Syukri bersama sekumpulan lelaki itu telah menerima kecaman hebat bukan sahaja daripada warga netizen, malah telah mendapat perhatian pihak kementerian hal ehwal agama.

Bertentangan budaya

Sememangnya, niat asal Alif Syukri menyiarkan muzik video yang berdurasi 5 minit dan 23 saat tersebut adalah bertujuan untuk menghiburkan semata-mata.

Bagaimanapun, unsur kurang sopan di dalam video tersebut telah menimbulkan kemarahan ramai orang kerana dianggap bertentangan dengan budaya tempatan di samping tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini.

Muzik video tersebut juga diminta untuk tidak dikongsikan di mana-mana media sosial bagi menjaga kesucian bulan puasa dan telah dirujuk oleh JAKIM untuk dibawa ke pihak berkuasa.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, satu kertas siasatan telah dibuka bagi membantu siasatan terhadap klip video tersebut mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya lagi, individu yang terlibat di dalam muzik video tersebut juga telah diberikan notis dan diminta hadir ke ibu pejabat SKMM bagi mendapatkan keterangan mereka.

Berterima kasih sebab layanan baik

Aliff Syukri sempat menghulurkan rasa berterima kasih dan syukur kepada pihak SKMM kerana memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses siasatan berlaku.

Pengarah muzik video ‘Bobo Di Mana?’ yang pernah tular suatu ketika dahulu itu juga turut memohon maaf atas kekhilafannya dan meminta untuk tidak melibatkan keluarganya, lebih-lebih lagi ibunya yang sedang menunaikan ibadah umrah.

Video tersebut telah menunjukkan aksi-aksi tarian tidak senonoh yang dilakukan beberapa lelaki dan dianggap cuba untuk menormalisasikan budaya LGBTQ, yang mana tidak selari dengan ajaran agama Islam.