Tak sampai sebulan, nama Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad kembali hangat di media sosial selepas tular satu lagi klip dimana dia dikatakan memperlekehkan kaum hawa.

Selepas tular di media sosial kerana satu klip dia mengatakan wanita perlu bodoh-bodoh sikit jika ingin mencari jodoh, dia telah tampil dan berminta maaf secara terbuka di Facebook miliknya, tapi nampaknya netizen tak setel lagi dengan Dr Muhaya.

Ada ke super girl?

Klip pertama Dr Muhaya yang tular di sosial media disunting daripada satu video berdurasi 45 minit yang bertajuk Antara Cinta dan Cita-Cita yang dimuat naik pada 6 Februari 2021.

Klip kedua ini dimuat naik oleh pengguna @RosmanPositivo selepas dia melihat video tersebut sepenuhnya kerana ingin memahami “maksud tersirat” mesej klip pertama tersebut.

Tetapi apa yang dia jumpa membuat dia “lagi berkerut dahi dan tergaru kepala pula” tulis @RosmanPositivo di ciapan tersebut.

“Ada ke super girl, girl-girl? Usah bajet baguslah you all. I’m a career woman, Allah…sudahlah. Tak ada dalam al-Quran wanita yang paling berharga, wanita yang berkerjaya.” katanya

Selepas itu, dia mempersoalkan golongan wanita yang mempunyai taraf akademik tinggi.

“Apa manfaat, nak bajet bagus, I pandai, I PHD, apa manfaat pada orang?”

Pandangan netizen

Seperti klip pertama yang tular, ruang komen klip kedua ini menerima nasib yang serupa, ada yang mengutuk Prof Muhaya, dan ada pula yang mempertahankan kata-kata dia.

Lepas satu, satu lagi yang muncul. Apa pun, harapnya adalah pencerahan daripada pihak Dr Muhaya.