Komposer dan penyanyi popular, Haqiem Rusli, 23, mendedahkan bahawa dia bakal menamatkan zaman bujangnya hujung tahun ini dengan gadis pilihannya.
Haqiem dikatakan mengumumkan berita gembira tersebut menerusi sesi Instagram Live di Instagram miliknya kira – kira jam 2 pagi.
Belum ada tarikh
Bagaimanapun, menurut Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, berkata masih belum ada tarikh yang sesuai untuk majlis perkahwinannya bersama gadis pilhan.
Dia tidak mahu menyembunyikan berita baik itu dan turut mengakui telah menghadiri kursus kahwin tahun lalu.
“Tak ada apa yang saya nak rahsiakan. Perkahwinan adalah perkara yang baik dan saya mengaku sudah sedia untuk ‘mendirikan masjid’ seperti lelaki lain.
“Cuma setakat ini, saya masih belum ada tarikh yang tepat untuk melangsungkan majlis itu. Dan siapakah identiti wanita berkenaan, saya akan umum pada majlis nikah nanti,” katanya lagi.
Tiada niat nak sembunyi
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 itu berkata dia tidak berniat untuk menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan peminat terutamanya ahli kelab Qiemilio namun masih belum mempunyai kekuatan untuk berkongsikan hal itu.
“Saya tidak tahu bagaimana mendapat kekuatan mahu berkongsi soal mendirikan masjid ini. Tetapi, saya percaya perkara baik tidak boleh disembunyikan,”
Siapa calon isteri?
Difahamkan, Haqiem dan ‘calon isteri’ sudah saling berkenalan dan menjalin hubungan rapat sejak dua tahun lalu.
“Siapa calon bakal isteri biarlah saya umumkan ketika majlis perkahwinan nanti. Saya hanya ingin peminat tahu, saya akan berkahwin, tidak lama lagi. Selebihnya, saya akan kongsi nanti,” ujar Haqiem ketika sesi IG Live tersebut.
Sementara itu, rata – rata peminat meluahkan rasa gembira dengan berita tersebut dan mendoakan agar urusan mendirikan rumah tangga itu dipermudahkan.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Tergantung Sepi ini bersyukur kerana pendedahannya itu mendapat reaksi yang positif daripada peminat-peminatnya.