Siapa sangka isu Kamal Adli melamar Uqasha Senrose secara ‘live’ di Anugerah MeleTOP Era (AME 2020) masih lagi menjadi bualan ramai walaupun dah beberapa hari berlalu.

Dan sekarang ni, pengarah dan pelakon Michael Ang pula tampil untuk memberi ulasan setelah komen daripada seorang Pencetus Ummah (PU) yang mengatakan lamaran secara terbuka patut diberhentikan.

Pertahan Tindakan Mereka

Menerusi rakaman video yang dimuatnaik di Instagram (IG), Michael mempertahankan tindakan Kamal yang melamar Uqasha secara live di AME 2020 Ahad lalu.

Kata Michael, tindakan Kamal tersebut adalah untuk menghalalkan hubungan cinta mereka berdua. Dia juga turut meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan Pencetus Ummah (PU) yang mengulas tentang Kamal dan Uqasha.

“Bagi saya ‘sweet’. Sekurang-kurangnya Kamal ajak Uqasha bina masjid. Bukan ajak buat maksiat. Saya tak faham dengan PU ni. Cepat saja nak komen pasal artis. Sebab apa? Nak cepat popular.

“Tetapi kalau bab-bab seangkatan korang, senyap ja. Pasal ustaz ke PU tunjuk bebird tu. Pasal cerai isteri masa mengandung. Yang pasal kena dituduh kes rogol. Tak faham aku kenapa eh?

“Kalau nak popular, buat benda baik contoh, Ustaz Ebit Lew. Bukan setakat dikenali, malah orang sanjung lagi,” katanya.

Menerima Komen Carutan

Michael turut mendedahkan dia ada menerima komen carutan daripada segelintir netizen yang mendakwa apa yang terjadi adalah kerana Kamal dan Uqasha berkawan dengannya.

“Yang netizen ini saya tak faham. Hantar direct message (DM) lepas tu carut saya. ‘Inilah jadi bila orang Melayu kawan dengan orang Cina’.

“Eh ingat saya ajar semua benda ni? Tak kisah nak kata saya pertahankan Kamal dan Uqasha sebab mereka geng saya. Tetapi memang saya rasa PU suka tumpang populariti,” katanya lagi.

Terdahulu PU Rahmat Ikhsan ada menegur trend masa kini iaitu melamar secara terang-terangan ini menerusi hantaran Facebook miliknya.

Eh makin panas pula ya isu ini. Apa-apa pun semoga isu dan hal ini tidak diperbesarkan oleh mana-mana pihak.